Oleh Nurdiyanah R.
TATKALA anak-anak lain dikelilingi dengan nikmat kebahagiaan bersama ibu dan ayah, ternyata ada kanak-kanak lain yang kehilangan tempat bermanja dan berkasih sayang daripada insan yang bergelar ibu bapa.
Justeru itu, menyayangi dan memelihara insan-insan yang memerlukan bantuan seperti anak yatim ini adalah sangat dituntut dalam Islam. Betapa besarnya rahmat Allah Subhanahu Wata’ala kurniakan bagi sesiapa yang saling mengamalkan amalan bersedekah atau menderma.
Ini terbukti melalui firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261 sebagaimana tafsirnya:
“Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah Subhanahu Wata’ala akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas Rahmat KurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.’’
Bersedekah merupakan salah satu cara untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan yang memerlukan bantuan seperti golongan fakir dan miskin, termasuklah juga anak-anak yatim.


Oleh itu, masyarakat di negara ini juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama berganding bahu menghulurkan bantuan derma dengan seikhlas hati, salah satunya adalah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di bawah SMS Brunei Prihatin.
Ia merupakan salah sebuah projek tahunan yang ditubuhkan sejak tahun 2005 anjuran bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Jabatan Radio Televisyen Brunei, DST Communications Sdn Bhd (DST) dan Progresif Cellular Sdn Bhd (PCSB) yang mana pada tahun ini, sebanyak $90,803 telah berjaya dikutip.
Oleh yang demikian, baru-baru ini, Media Permata berkesempatan untuk mengikuti suasana sebuah majlis yang mulia lagi penuh keberkatan untuk meringankan beban perbelanjaan, keperluan harian dan juga sebagai persediaan menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi anak-anak yatim di negara ini iaitu Majlis Penyampaian Derma Anak-anak Yatim Peringkat Kebangsaan 2018.
Ribuan penerima sumbangan derma
Seramai 4,840 orang anak yatim di seluruh negara telah menerima derma pada majlis berkenaan yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Daripada jumlah penerima tersebut, seramai 3,103 orang anak yatim adalah dari Daerah Brunei dan Muara, 785 orang penerima dari Daerah Tutong, 734 penerima dari Daerah Belait dan 218 orang penerima dari Daerah Temburong.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kewangan II selaku Pengerusi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah serta isteri dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta isteri.
Sesungguhnya bantuan yang dihulurkan sama ada berupa wang ringgit atau barang-barang keperluan bukan sahaja dapat mengurangkan bebanan mereka, malah juga dapat mengukir senyuman kebahagiaan dan kegembiraan di hati mereka.
Terukir sebuah keceriaan
Salah seorang penerima sumbangan derma yang berasal dari Kampung Sungai Buloh, Awang Muhammad Farhan Iskandar bin Abdullah melahirkan perasaan gembira kerana berpeluang lagi pada tahun ini untuk menerima sumbangan tersebut.


“Ribuan terima kasih ditujukan kepada para penyumbang yang mana dengan adanya bantuan ini sedikit sebanyak dapatlah menampung keperluan perbelanjaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang dan selebihnya akan disimpan untuk di masa akan datang,” ujarnya dengan nada penuh keceriaan.
Penuh rasa kesyukuran
Manakala kegembiraan juga jelas terpapar di wajah salah seorang penerima sumbangan derma tersebut, Dayang Syauqenah @ Nur Umiyati binti Abdulllah Ibnu Abu Syaukani turut berkongsi perasaan bersyukur dengan menyatakan bahawa sumbangan yang diterima beliau pada hari itu sememangnya berguna untuk menambah perbelanjaan harian terutamanya dalam membeli pakaian dan perkakas sekolah serta keperluan-keperluan yang lain.
Beliau yang berasal dari Kampung Kilanas itu telah mula menerima sumbangan sebegini sejak tiga tahun lalu sekali gus turut mendoakan agar para penyumbang akan sentiasa berada dalam limpah dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala.
Rasa amat dihargai
Sementara itu, Awang Mohammad Ahmad Zulkarnain bin Haji Wahab, 14 tahun, yang juga merupakan salah seorang penerima derma di majlis itu, menjelaskan bahawa sumbangan yang diterima pada tahun ini merupakan kali kedua sejak bapa beliau meninggal dunia pada tahun 2015.
“Sejujurnya, saya selaku anak yang hanya bergantung hidup bersama ibu saya, sangat bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala di atas sumbangan yang diberikan ini. Ia sudah semestinya dapat membantu saya untuk membeli keperluan Hari Raya dan selebihnya akan disimpan serta dikongsi bersama ibu saya yang mana beliaulah yang selama ini bertungkus lumus berusaha untuk membesarkan saya setelah ketiadaan ayah sejak dua tahun lalu.”
“Dengan adanya sumbangan ini, perasaan gembira itu sudah semestinya sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Saya merasa amat dihargai. Terima kasih kepada pihak penyumbang,” tambah beliau yang berasal dari Kampung Tungku.
Gabungan para sukarelawan
Dalam menjayakan majlis yang begitu indah itu, para sukarelawan juga turut sama berganding bahu dalam membantu pihak penganjur sepanjang majlis itu berlangsung.




Mereka kelihatan cukup bersemangat untuk menjalankan peranan dalam bidang mereka masing-masing.
Menurut Pengasas Kumpulan Sukarelawan Kemanusiaan Pasukan Bertindak Bantuan Kecemasan (Humanitarian Emergency Aid Response Team (H.E.A.R.T) Volunteer Group), Paul Y. C. Chiew menyatakan perasaan sangat bertuah untuk bekerjasama dengan pihak penganjur bagi menjalankan aktiviti sukarelawan itu.
“Peranan kami di sini ialah sebagai ahli sukarelawan bagi membantu mereka jika berlakunya sebarang kecemasan dari segi kesihatan seperti pengsan disebabkan oleh kekurangan air, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang berpuasa,” tambah beliau yang juga selaku ketua bagi ahli kumpulan berkenaan yang merupakan salah sebuah badan persatuan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang telah ditubuhkan sejak tahun 2012.
Manakala salah seorang wakil sukarelawan yang kini menuntut di Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan, Dayang Norhakimah binti Haji Kipli, mengungkapkan perasaan teruja kerana berpeluang untuk mengikuti aktiviti sukarelawan ini buat kali pertama bersama rakan-rakan yang lain, lebih-lebih lagi di bulan suci Ramadan ini.
“Apa yang kami laksanakan pada hari ini ialah bagi membantu pihak penganjur untuk mengatur susunan tempat duduk dan arah tuju laluan para penerima sumbangan agar semuanya berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan selama ini.”
“Dengan penglibatan kami sebagai ahli sukarelawan sebegini sememangnya merupakan suatu peluang keemasan yang terbaik bagi kami khususnya golongan belia untuk sentiasa bergerak aktif dalam membantu masyarakat di negara ini,” jelas beliau lagi dengan penuh semangat semasa mengakhiri sesi temu bual bersama wartawan Media Permata.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita selaku hamba Allah di muka bumi ini untuk mengambil berat terhadap sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan termasuklah anak-anak yatim, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang penuh kerahmatan dan kemuliaan ini. Bersama-samalah kita mengukir senyuman dan kebahagiaan di hati mereka semua.
Semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa melimpahi rahmat dan perlindungan kepada kita semua untuk meneruskan kehidupan di dunia yang sementara ini.