Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Berkongsi pengalaman didik anak berkeperluan khas

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Bahiyah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Sebagai sebahagian daripada misi berterusannya dalam menyokong kesedaran dan keterangkuman golongan berkeperluan khas di Brunei, The Impian Project telah menganjurkan ceramah kesedaran tentang cara mendidik kanak-kanak berkeperluan khas, baru-baru ini.

    Dianjurkan dengan kerjasama Akademi Sapphire, ceramah tersebut menampilkan dua orang wakil dari akademi berkenaan yang merupakan sebuah pusat pembelajaran berkeperluan khas di Malaysia.

    Berangkat ke acara yang berlangsung di Baiduri Community Space, Ibu Pejabat Bank Baiduri tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini.

    Turut hadir ialah pakar kesihatan, guru dan ibu bapa atau keluarga kanak-kanak berkeperluan khas serta orang ramai yang berminat.

    Pengasas The Impian Project, Dayang Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain dalam sembah ucapan ringkasnya mengetengahkan mengenai kerjasama istimewa yang mengeratkan hubungan antara Brunei dan Malaysia, membolehkan perkongsian kepakaran bukan sahaja antara kedua-dua organisasi, malah komuniti kedua-dua negara yang berbeza.

    Beliau juga menyatakan, akses kepada pendidikan adalah hak setiap kanak-kanak, berkeperluan khas atau bukan.

    Acara diteruskan dengan pembentangan bertajuk ‘Bagaimana kita mendidik kanak-kanak berkeperluan khas?’ oleh wakil dari Akademi Sapphire iaitu Kavishalinee Pillay dan Tabitha De Silva yang bercakap tentang pengalaman mereka dalam mendidik kanak-kanak berkeperluan khas.

    Majlis turut disokong oleh Bank Baiduri dan Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan YAM Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini semasa berkenan berangkat menghadiri ceramah kesedaran pendidikan tentang cara mendidik kanak-kanak berkeperluan khas, baru-baru ini.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan YAM Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini berkenan mendengarkan sesi perkongsian daripada salah seorang wakil dari Akademi Sapphire.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Amaran ribut hujan tertinggi dikeluarkan

    BEIJING, 23 APRIL - Lebih 100,000 orang telah dipindahkan akibat hujan lebat dan banjir yang membawa maut di selatan China, dengan kerajaan mengeluarkan amaran...