Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Pelbagai pihak mengambil kesempatan bersedekah dengan mengagihkan air kepada orang ramai, sama ada peserta atau mereka yang menyaksikan upacara kemuncak perbarisan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 di ibu negara, hari ini.
Antara yang mengagihkan air minuman ialah Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL), berupa 500 gelas minuman teh di hadapan premisnya di sini.
Semasa ditemui Media Permata, Eksekutif Operasi CBTL Brunei, Marin Agus Din menjelaskan bahawa aktiviti berkongsi rezeki di bawah inisiatif Caring Cup CBTL itu merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat tahunan demi menyumbang kepada komuniti pada hari penuh bermakna ini.
Menurutnya, sambutan daripada orang ramai terhadap pengagihan minuman berkenaan sangat menggalakkan.
Turut mengagihkan makanan dan minuman percuma seperti keropok ikan dan variasi air perisa buah daripada produk bruneihalalfoods adalah Ghanim International Corporation Sdn Bhd yang diusahakan oleh seramai 13 orang pegawai dan ahli kakitangannya.
Pengurus Kanan, Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Dayang Fatin Arifin berkata, penglibatan mereka dalam upacara penuh bermakna itu adalah untuk sama-sama menyemai semangat patriotik di samping untuk mengetengahkan keluaran produk-produk kepada orang ramai di negara ini agar ia lebih dikenali dengan nilai-nilai keistimewaan
yang tersendiri.