Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Berkorban demi masa depan lebih cerah

    BENGALURU, INDIA – Jerifa Islam, berusia lapan tahun hanya ingat sungai mengalir deras, airnya memusnahkan tanah ladang keluarganya dan ombak menghempas rumah mereka semasa banjir musim tengkujuh. Kemudian pada satu hari pada Julai 2019, Sungai Brahmaputra menelan segala-galanya.

    Rumahnya di daerah Darrang negeri Assam di India telah dihanyutkan oleh air bah. Namun malapetaka itu membawa Jerifa dan abangnya, Raju, 12, belajar di sekolah yang terletak hampir 3,218 kilometer dari Bengaluru, di mana penduduk bertutur bahasa Kannada yang berbeza daripada bahasa ibunda kanak-kanak Bangla.

    Kehidupan awal yang diharungi adalah sukar. Kelas di sekolah kerajaan diajar dalam bahasa Kannada, dan Raju tidak memahami langsung satu patah perkataan yang diajar.

    Namun dia meneruskan juga pembelajaran, mengatakan berada dalam kelas adalah lebih baik daripada menghabiskan berbulan-bulan di Assam apabila jalan raya tenggelam tidak membenarkannya menghadiri sekolah selama beberapa bulan. “Pada mulanya saya tidak memahami apa yang berlaku, kemudian apabila guru memberikan penjelasan dengan perlahan, saya mula belajar,” katanya.

    Kanak-kanak itu dilahirkan di kampung di kawasan rendah, diapit oleh Himalaya dan sungai. Seperti kebanyakan kawasan di timur laut India, ia sudah tidak asing dengan hujan lebat dan banjir.

    Jerifa Islam menulis bahasa Kannada dalam buku notanya di sebuah sekolah kerajaan di Bengaluru, India. – AP
    Seorang budak perempuan melihat seorang lelaki menjual halwa rambut ketika dia berjalan di lorong kawasan komuniti miskin di Bengaluru, India. – AP
    Seorang guru mengadakan kelas selepas sekolah, sebahagian daripada program yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan untuk kanak-kanak pendatang, kebanyakannya digelar pelarian iklim, di Bengaluru, India. – AP

    Namun bapa mereka, Jaidul Islam, 32, dan ibu, Pinjira Khatun, 28, mengetahui sesuatu telah berubah. Hujan telah menjadi semakin tidak menentu, banjir kilat berlaku dengan lebih kerap dan tidak dapat diramalkan. Mereka adalah antara 2.6 juta penduduk di negeri Assam yang terjejas oleh banjir pada tahun mereka memutuskan untuk berpindah ke Bengaluru, sebuah bandar dengan lebih 8 juta penduduk dikenali sebagai Lembah Silicon India.

    Tidak ada sesiapa dalam keluarga mereka yang pernah berpindah begitu jauh dari kampung, tetapi impian memiliki kehidupan lebih baik dan pendidikan baik untuk anak mereka mengatasi segala keraguan yang menghantui fikiran mereka. Pasangan suami isteri itu tidak fasih dalam bahasa Hindi, bahasa yang paling lazim dipertuturkan, dan berharap ia memadai untuk hidup di bandar.

    Kedua-duanya mengemas apa sahaja barangan yang ada. “Kami meninggalkan rumah dengan tangan kosong. Hanya sedikit pakaian untuk anak-anak, kelambu dan dua tuala. Itu sahaja yang ada,” kata Islam.

    Beg pakaian kini diisi dengan buku latihan sekolah – dan ibu bapa, tanpa sebarang pendidikan formal, berkata kehidupan mereka hanya menumpu pada pendidikan anak mereka. “Anak saya tidak akan menghadapi masalah yang sama dihadapi saya,” kata bapa Raju.

    Keluarga itu melarikan diri dari daerah Darrang, yang sering mengalami hujan lebat dan banjir. Namun suhu yang meningkat dan perubahan iklim telah menjadikan monsun semakin tidak menentu, dengan sebahagian daripada hujan turun selama beberapa hari, diikuti oleh musim kemarau. Daerah itu adalah salah satu kawasan yang paling mudah terdedah kepada perubahan iklim di India, menurut kumpulan pemikir berpangkalan di New Delhi.

    Di kawasan pinggir bandar di mana Jerifa dan keluarganya tinggal, kebanyakan orang berasal dari negeri Assam, terpaksa berpindah disebabkan perubahan iklim dan impian masa depan yang lebih cerah. Misalnya, Shah Jahan, 19, seorang pengawal keselamatan yang ingin menjadi pempengaruh YouTube, Rasana Begum, seorang tukang cuci berusia 47 tahun yang berharap dua anak perempuannya akan menjadi jururawat. Rumah mereka juga dihanyutkan dalam banjir.

    Pinjira dan Jaidul telah mendapat kerja dengan syarikat kontraktor yang menawarkan kakitangan untuk pejabat syarikat teknologi India dan AS. Jaidul memperoleh AS$240 sebulan, dan isterinya AS$200 – berbanding dengan AS$60 yang diperolehnya daripada kerja bercucuk tanam di kampung. Yuran sekolah swasta baharu Raju menelan satu pertiga daripada pendapatan mereka, dan keluarga itu tidak mempunyai wang simpanan. Namun untuk pertama kali dalam bertahun-tahun, di rumah baharu mereka, bilik dengan keluasan 3 meter dan 3.6 meter yang beratapkan timah serta kemudahan bekalan elektrik – mereka berasa optimistik mengenai masa depan.

    “Saya gembira kerana saya boleh bekerja di sini. Di kampung, tidak adanya kerja untuk wanita,” kata Pinjira.

    Untuk sekarang, Raju bercita-cita mendapatkan keputusan yang baik di sekolah baharunya.

    Dia telah menerima manfaat daripada program setahun yang dikendalikan oleh Yayasan Samridhi, badan bukan kerajaan yang membantu kanak-kanak pendatang untuk kembali kepada sistem pendidikan dengan mengajar mereka bahasa asas Kannada, Inggeris, Hindi dan matematik. Guru-guru menguji pelajar setiap dua bulan untuk membantu mereka beralih kepada sekolah kerajaan percuma yang mengajar dalam bahasa Kannada – atau dalam sesetengah kes, bahasa Inggeris seperti di sekolah Raju.

    “Mata pelajaran kegemaran saya ialah matematik,” kata pelajar berusia 12 tahun itu, menambah masa yang paling disukainya adalah perjalanan bas ke sekolah. “Saya suka melihat keluar dari tingkap dan melihat bandar dan semua bangunan besar.”

    Adik perempuannya, yang bercita-cita menjadi peguam pada satu hari nanti, telah menguasai Kannada lebih cepat daripadanya dan berborak dengan gembira bersama rakan sedarjah baharunya di sekolah kerajaan berhampiran, dapat beralih dengan mudah di antara bahasa ibunda dan bahasa yang dipelajari.

    Ibu bapa mereka bekerja di antara syif untuk memastikan salah seorang di antara mereka berada di rumah sekiranya berlaku kecemasan. “Mereka masih muda dan boleh menghadapi masalah, atau cedera,” kata Khatun. “Dan kami tidak mengenali sesiapa di sini.”

    Perasaan bimbang mereka bukan sesuatu yang asing. Ramai ibu bapa risau mengenai keselamatan apabila mereka menghantar anak mereka ke sekolah di kawasan yang asing.

    Kanak-kanak penghijrah cenderung tercicir, mendapati kelas terlalu sukar untuk diikuti. Namun Raju menganggap ‘disiplin’ sekolahnya memberangsangkan selepas kehidupan yang kelam-kabut di kawasan miskin.

    Ibunya rindu akan keluarganya di kampung dan berbual dengan mereka menerusi telefon. “Mungkin saya akan pulang semasa cuti sekolah,” katanya.

    Suaminya tidak mahu pulang ke Assam – di mana banjir membunuh sembilan orang di daerah mereka pada tahun ini – sehinggalah kanak-kanak memasuki gred lebih tinggi.

    “Mungkin pada 2024 atau 2025,” katanya.

    Setiap petang, bapa Raju menunggu dengan sabar, melihat-lihat jalan raya menanti bas kuning yang dinaiki Raju. Sebaik saja tiba di rumah, budak lelaki itu menghiburkannya dengan kisah mengenai sekolah baharunya. Menurutnya, dia kini boleh berkata ‘air’ dalam bahasa Kannada, tetapi tidak ada seorang pun rakan kelasnya yang tahu apa itu ‘banjir’. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...