Berlakon jadi hobi Amerul

Lantaran rasa kecewa terhadap industri seni yang didakwa tidak adil apabila soal jumlah pengikut laman sosial jadi prasyarat stesen penyiar ‘meluluskan’ senarai pelakon, Amerul Affendi lebih selesa menjadikan bidang seni sebagai hobi.

Namun, Amerul yang pernah merangkul trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 menerusi filem Terbaik dari Langit, tidak terfikir meninggalkan terus bidang lakonan.

Aktor berbakat besar ini mengaku ‘gian’ jika sudah lama tidak beraksi depan kamera.

Mendasari hati Amerul, graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini mengaku kecewa masa dan wang dihabiskan selama tiga tahun di institusi pengajian itu ibarat sia-sia dengan syarat dikenakan stesen penyiar dalam memilih pelakon.

“Sejak dua tahun lalu, ketika isu pengikut laman sosial dibangkitkan, saya sudah agak terasa.

Amerul Affendi lebih selesa menjadikan bidang seni sebagai hobi. – Agensi

“Apa guna saya belajar tiga tahun di ASWARA dan berhabis beribu ringgit. Apabila keluar bekerja, apa yang dinilai adalah jumlah ‘followers’, bukan apa yang saya belajar dan masa yang saya korbankan selama ini.

“Sejak itu, saya mula sedar bahawa lakonan tidak boleh dijadikan sebagai kerjaya. Sebaliknya, bidang ini sekadar hobi.

“Sejak itu, saya mula menceburi bidang pertanian dan penternakan sebagai persediaan masa depan.

“Jika ditanya soal kecewa, kekecewaan sudah lama mati. Apabila saya katakan lakonan adalah hobi, ia bermakna saya sudah tidak rasa apa-apa terhadap bidang ini.

“Tetapi sesekali saya tetap akan berlakon sebagai melepaskan ‘gian’,” katanya yang ditemui pada sesi tayangan filem dibintanginya, Prebet Sapu di ibu negara, baru-baru ini.

Menanti reaksi penonton, Amerul atau nama sebenar, Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi boleh berbangga apabila Prebet Sapu bakal mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi ke-94, tahun depan.

Namun, pelakon berusia 35 tahun ini tidak mahu terlalu lekas mendabik dada. Bagi Amerul, dia tidak perlu mencanangkan pencapaian dirinya. Sebaliknya, biarlah orang ramai yang menilai.

Ditanya sejauh mana harapan untuk Anugerah Akademi, anak kelahiran Temerloh, Pahang ini tidak meletakkan impian tinggi. Baginya, bukan mudah untuk menembusi anugerah sehebat Oscar.

“Sejujurnya, semua orang tahu bukan mudah untuk merangkul kejayaan pada anugerah berprestij peringkat antarabangsa. Kita perlu melobi untuk menang dan prosesnya bukan mudah.

“Tetapi bagi saya, apabila filem Prebet Sapu dihantar untuk penyertaan sudah cukup membanggakan.

“Cuma saya tertanya apakah keistimewaan filem ini sehingga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memilihnya untuk dibawa ke Oscar.

“Ada banyak lagi filem berskala besar tetapi kenapa filem berbajet rendah seperti Prebet Sapu dipilih,” katanya.

Dalam filem arahan Muzzamer Rahman itu, Amerul membawa watak sebagai Aman.

Prebet Sapu mengisahkan realiti anak muda yang terpaksa berjuang untuk hidup biarpun memiliki segulung ijazah. – Agensi