Berlepas sertai Sukan Arafura

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada empat orang atlet dan lima orang pegawai termasuk chef de mission, pegawai perhubungan, jurulatih dan kakitanganperubatan telah berlepas ke Darwin, Australia, hari ini, bagi menyertai Kejohanan Sukan Arafura 2019 pada 26 April hingga 4 Mei depan.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada kontinjen negara ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.

Pada edisi kali ini, kontinjen Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak tiga acara sukan iaitu bola jaring, renang dan olahraga bagi atlet Para.

Pada Sukan Arafura 2011, kontinjen negara telah berjaya meraih 14 pingat secara keseluruhan iaitu empat pingat emas, enam pingat perak dan empat pingat gangsa melalui sukan olahraga termasuk olahraga bagi atlet Para, renang dan tenpin boling.

Turut hadir  pada petang tadi ialah pegawai-pegawai kanan KKBS.

Pengiran Mohammad Amirrizal ketika memberikan kata-kata semangat kepada para kontinjen negara yang akan menyertai Kejohanan Sukan Arafura 2019 di Australia.