Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berlian jarang ditemui dilelong AS$15.7 juta

    HONG KONG, 6 OKT – Sebutir berlian tanpa kecacatan yang jarang ditemui dibeli pada harga AS$15.7 juta dalam lelongan awam di Hong Kong petang semalam.

    Berlian 102.39 karat yang disifatkan tiada kecacatan oleh pelelong Sotheby itu dibeli oleh pembida yang tidak dinamakan pada lelongan dalam talian berikutan pandemik COVID-19.

    Pengarah Urusan 77 Diamonds, Tobias Kormind, berkata pembeli batu berlian itu mendapat harga yang baik.

    “Dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang ini, pelabur yang bijak beralih kepada aset lebih selamat seperti batu berlian, hartanah dan emas,” katanya.

    Difahamkan, hanya terdapat tujuh lagi berlian yang melebihi 100 karat dan mempunyai kualiti hampir sama pernah dilelong sebelum ini.

    Buat kali pertama dalam sejarah pelelongan batu berlian, berlian itu dijual tanpa had harga, bermakna mana-mana pembida menawarkan harga tertinggi boleh memilikinya.

    Dalam kes ini, kata Kormind, ternyata pendekatan itu merugikan penjual kerana harga sebenar berlian berkenaan sepatutnya jauh lebih tinggi.

    Batu berlian yang secara kasarnya dianggarkan 271 karat ketika ditemui itu, dilombong di Lombong Victor di Kanada pada 2018, yang kini sudah ditutup.

    Pengerusi pusat lelongan Sotheby, Gary Schuler, berkata antara berlian terbaik ialah berlian putih yang sememangnya jarang ditemui dan amat cantik. – AFP

    Antara berlian yang dipamerkan di bilik lelongan Sotheby di Hong Kong pada 28 September lalu. Sebutir berlian tanpa kecacatan yang jarang ditemui dibeli pada harga AS$15.7 juta dalam lelongan awam di Hong Kong petang kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda