Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bermaaf-maafan demi kebaikan anak

    DEMI kebaikan anak-anak dan keluarga, pelakon Fasha Sandha telah memohon maaf kepada aktres Nora Danish atas isu yang terjadi antara mereka pada majlis pertunjukan fesyen tahun lalu.

    Didakwa mengguris perasaan Nora rentetan isu terbabit, Fasha memberikan kenyataan berkaitan perkara tersebut.

    Fasha mengakui dia dan Nora Danish ke pejabat mediasi di Mahkamah Shah Alam minggu lalu.

    “Maaf saya tidak mahu memberi komen panjang mengenai isu itu sebaliknya apa yang boleh saya katakan di sini, Insya Allah jika tiada aral melintang bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya akan memohon maaf kepada Nora Danish atas isu yang terjadi pada majlis pertunjukan fesyen tahun lalu yang didakwa mengguris perasaannya.

    “Ini adalah demi kebaikan anak-anak dan keluarga. Isu antara kami berlarutan terlalu lama,” katanya.

    Fasha Sandha dan Nora Danish bermaaf-maafan di bulan mulia ini dalam menyedari akan pentingnya menjaga hubungan anak yang berkongsi kasih daripada seorang bapa.

    Tambah Fasha, justeru jalan terbaik adalah berdamai dan hidup dalam harmoni.

    “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat daripada kedua belah pihak kerana tidak jemu mendoakan agar kami berdamai.

    “Syukur, Allah telah perkenan doa itu serta dengan bantuan kedua peguam yang bertugas.  Terima kasih,” katanya.

    Perselisihan faham kedua-dua pelakon itu terjadi sejak sekian lama dan kemuncaknya apabila Fasha mendakwa dihalang oleh penganjur ketika menghadiri pertunjukan fesyen Aidilfitri pada 12 Mei 2017 kononnya ia atas arahan Nora.

    Rentetan itu, Nora, 36, menjadikan mahkamah bagi menyelesaikan hal berkenaan sehinggalah satu sidang mediasi untuk menamatkan kemelut berkenaan dilakukan melalui peguam kedua-dua belah pihak.

    Keutamaan untuk berdamai itu juga adalah atas dorongan hati Fasha yang memikirkan dua anaknya iaitu Putra Rayfal, 4, dan Putri Raysha Jemyma, 3,  serta anak sulung Nora, Putera Rayqal, 10, berkongsi kasih seorang bapa.

    Kedua-dua mereka sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda