Wednesday, February 19, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bermain di United satu impian

    LONDON, 9 Julai – Romelu Lukaku berkata perpindahannya dari Everton ke Manchester United bagi bayaran yang dilaporkan bernilai 75 juta pound (AS$97 juta) memecah rekod pemindahan bagi perjanjian di antara kelab-kelab Britain sebagai satu peluang yang dia selalu impikan sebagai seorang kanak-kanak.

    Penyerang antarabangsa Belgium, 24, pemegang rekod jaringan Liga Perdana dengan 68 gol memberitahu ESPN dia tidak akan teragak-agak atas pemindahan itu meski bekas kelabnya Chelsea menawarkan bayaran yang sama namun nampaknya berminat terhadap komisyen besar yang dituntut oleh ejennya Mino Raiola.

    Lukaku tidak menyebut mengenai Chelsea yang mana pengurusnya Antonio Conte dikatakan terasa dikhianati oleh penyerang itu yang telah berbincang dengannya pada beberapa acara sejak musim lepas berakhir.

    “Ia adalah kelab (Manchester United) yang dahaga untuk memenangi liga sekali lagi dan berhasrat menjadi dominan di dunia sekali lagi,” Lukaku memberitahu ESPN, yang berkata mereka menemuinya selepas dia menjalani ujian kesihatan.

    “Ia satu peluang yang sering saya mahukan sejak budak lagi.

    Lukaku mengatakan bermain di United merupakan impiannya sejak kecil lagi. - AP
    Lukaku mengatakan bermain di United merupakan impiannya sejak kecil lagi. – AP

    “Apabila mereka datang memanggil saya tidak perlu berfikir dua kali, jadi saya begitu gembira untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini.”

    Lukaku yang sebelum ini dijual oleh Jose Mourinho kepada Everton bagi bayaran 28 juta pound dalam 2014 ketika mengendalikan Chelsea, berkata pemindahan ke United adalah satu peluang baginya.

    “Siapa akan mengatakan tidak kepada kelab terbesar di dunia?” kata Lukaku, yang dilaporkan akan dibayar 200,000 pound seminggu oleh United.

    “Stadium terbaik di England, penyokong-penyokong terbaik. Maksud saya, ia adalah peluang yang sempurna.

    “Saya sering berkata saya mahu bermain bagi pasukan memberi cabaran bagi semua trofi.

    “Saya berasa Manchester United pada ketika ini mahu menjadi pasukan yang dominan.”

    Lukaku yang menolak kontrak paling lumayan yang ditawarkan oleh Everton pada akhir musim lepas, berkata dia ingin meningkatkan kadar kerjanya untuk memenuhi permintaan Mourinho.

    “Inilah masanya untuk bekerja keras, bekerja lebih keras daripada yang pernah saya lakukan dan saya bersedia melakukannya,” kata Lukaku. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda