Bermalam dikira langgar SOP pada Aidilfitri – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 22 MEI – Bermalam dikira melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan bagi aktiviti ziarah-menziarahi sempena Aidilfitri, jelas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata mengikut SOP, aktiviti ziarah-menziarahi hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja.

“Kalau kita raya 24 haribulan, kalau dia tidur di situ, lebih pukul 12:01 (tengah malam) dah jadi 25 haribulan, dan dia nak beraya lagi esok tu, jadi salah dari segi SOP,” katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.

Mengenai proses penghantaran pulang penuntut dari institusi pengajian tinggi (IPT),  Ismail Sabri berkata ia akan bersambung semula pada 28 Mei iaitu selepas Aidilfitri.

“Seramai 1,722 penuntut dijadual dihantar pulang melibatkan tiga penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan tiga penerbangan lagi dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menghantar pulang 894 pelajar melibatkan dua penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching dan dua penerbangan dari Kuching ke Kota Kinabalu. – Bernama

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra kelmarin. – Bernama