Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Bermula dari minat, kini jadi pengusaha ikan betta

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    Sesetengah orang berpendapat membela haiwan peliharaan dapat dijadikan sebagai teman, melepaskan tekanan dan hiburan, malah secara tidak langsung juga dapat menjana pendapatan bagi pemiliknya.

    Betta splendens, yang juga dikenali sebagai ikan laga (Siamese fighting fish), telah menjadi haiwan peliharaan rumah yang agak dikenali sejak sekian lama. Hidup di lembangan sungai Mekong dan Chao Phraya di Thailand, ikan ini boleh ditemui di perairan yang hampir bertakung, seperti paya, dataran banjir dan sawah padi.

    Sama seperti kebanyakan orang, minat kepada corak pada ikan kemudian bertukar menjadi hobi untuk mengumpul ikan betta ini tercetus dalam diri Awang Mohammad Aznil Khairuddin bin Khairul Azmi, 20, dari Adzbetta_bn apabila beliau diberi ikan betta pertamanya beberapa tahun lalu.

    Awang Mohammad Aznil berkata melihat kepelbagaian warna dan jenis ikan betta membuatkan beliau berasa teruja, menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk mengumpul lebih banyak ikan tersebut pada tahun 2019.

    “Sekitar tahun 2020, saya mula mencuba menternak ikan saya. Beberapa percubaan pertama dalam pembiakan sudah tentu berdepan kegagalan seperti yang dijangkakan,” katanya, sambil menambah ia seterusnya membawanya untuk mengkaji lebih lanjut tentang ikan betta dan tabiat pembiakan mereka.

    Antara koleksi-koleksi ikan betta yang dibiakkan oleh Awang Mohammad Aznil.

    Awang Mohammad Aznil Khairuddin berkata melihat kepelbagaian warna dan jenis ikan betta membuatkan beliau berasa teruja, menyebabkan beliau mengambil lebih banyak ikan tersebut pada tahun 2019.
    Gambar menunjukkan tempat Awang Mohammad Aznil menternak ikan betta miliknya.

    “Saya kemudian mencuba menternaknya di luar rumah saya, kejayaan pertama pembiakan itu membuatkan saya lebih teruja dan bermotivasi untuk meneruskannya.

    “Ia perkara seronok yang dibuat sebagai pendapatan sampingan sambil meneruskan pelajaran, jadi saya tidak perlu bergantung kepada ibu bapa saya dari segi kewangan,” kata Awang Mohammad Aznil yang kemudiannya menghasilkan perniagaan ikan betta beliau pada bulan Jun 2021.

    Awang Mohammad Aznil kini berada di tahun kedua di Institut Kemuda mengambil jurusan Diploma Tinggi Kebangsaan (HND) dalam bidang Pengkomputeran. Beliau berkata mempunyai ikan betta di sekelilingnya benar-benar membantunya melepaskan tekanan kerana beliau dapat melihat ikan berenang sambil berehat daripada membuat tugasan.

    Proses pembiakan betta agak singkat

    Menurut Awang Mohammad Aznil ikan betta ini memiliki keunikan dari segi bentuk badan kerana spesiesnya tidak khusus untuk satu jenis sahaja, selain itu ikan ini mempunyai ekor berbentuk separuh bulan, ekor mahkota, dan lain-lain lagi, termasuk campuran pelbagai warna pada sisiknya.

    Beliau menjelaskan untuk membezakan antara betta jantan dan betina, awda perlu melihat pelbagai aspek, di mana kebanyakan betta jantan umumnya bersaiz lebih besar daripada betta betina dengan pelbagai bentuk ekor yang lebih besar, manakala betta betina akan mempunyai bintik putih atau tiub ovipositor di bahagian bawahnya menyerupai sebutir garam yang terletak berhampiran sirip perutnya.

    “Apabila awda ingin menternak ikan betta, terdapat proses yang perlu diikuti untuk mengelakkan haiwan itu daripada bergaduh sesama sendiri hingga mati, dan ini biasanya mengambil masa kira-kira tiga hari,” kata Awang Mohammad Aznil.

    Penternak ikan betta tersebut menjelaskan betina perlu diperkenalkan secara berasingan dalam bekas khusus kepada jantan sekurang-kurangnya sehari sebelum melepaskan betina ke dalam tangki yang sama, kemudian proses mengawan akan mengambil masa satu hari di mana telur akan dikeluarkan selepas mengawan, dan pada hari ketiga, telur akan menetas.

    “Proses pembiakan agak singkat,” tambahnya.

    Awang Mohammad Aznil telah berjaya menternak lebih 10 pasang ikan betta, dan telah menjual lebih 200 ekor ikan betta sehingga kini.

    “Sepasang ikan betta jantan dan betina boleh membiak kira-kira 100 hingga 300 biji telur pada satu masa, dan seekor ikan betta boleh menghasilkan jumlah yang sangat berharga bergantung kepada bakanya,” kata beliau.

    Menyentuh tentang penjagaan ikan betta, beliau menjelaskan antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah air yang digunakan untuk menempatkannya kerana ikan berkenaan memerlukan air yang dibiarkan beberapa hari untuk melarutkan klorin di dalamnya sekiranya air berkenaan daripada paip, atau ubat anti-klorin juga boleh dicampur untuk langkah tambahan.

    Alternatif yang lebih baik ialah menggunakan penapis air sambil memasukkan sedikit garam ke dalamnya bagi memastikan ikan sihat apabila mereka masuk ke dalam tangki air.

    Di samping itu, orang ramai juga boleh memberi ubat di dalam air serta daun catappa.

    “Dari segi pemakanan ikan betta, pelbagai makanan boleh dicuba. Tetapi selalunya ia harus tinggi protein dan lebih baik betta diberi makanan hidup seperti kutu air, jentik-jentik dan seumpamanya, yang juga terbaik untuk makanan ikan betta muda supaya ia membesar lebih cepat dan jika awda mahu warnanya lebih menyerlah,” tambahnya.

    Awang Mohammad Aznil berkata, orang ramai yang ingin menjaga ikan betta perlu rajin berbuat demikian kerana air perlu ditukar lima hari hingga seminggu sekali, dan bagi mereka yang ingin memulakan pembiakan ikan betta, mereka tidak boleh berasa kecil hati jika ada di antaranya yang mati kerana itu adalah proses yang biasa.

    Memiliki rancangan untuk masuk ke Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sebaik sahaja menamatkan pengajian dari HND, Awang Mohammad Aznil masih berhasrat untuk meneruskan perniagaan dalam jangka panjang sebagai pendapatan sampingan.

    Beliau menambah belum ada mana-mana kumpulan tempatan di Brunei untuk menternak ikan betta setakat ini, tetapi beliau berharap dapat menarik lebih ramai orang untuk berminat untuk menternak ikan betta supaya terdapat komuniti tempatan untuk berkongsi idea serta pengalaman.

    “Saya juga mengesyorkan belia untuk melibatkan diri dalam perkara yang berfaedah, salah satunya adalah daripada pemeliharaan ikan ini,” kata Awang Mohammad Aznil sambil menambah mereka yang ingin belajar daripada beliau bolehlah menghubungi beliau melalui Instagram.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...