Tuesday, April 23, 2024
35.6 C
Brunei

    -

    Bermula daripada koleksi, kini tubuh muzium pameran

    WARSAW – Sebuah muzium baharu telah dibuka di bekas kilang logam di Warsaw yang mengumpulkan 1,600 pameran berkaitan dengan jenama Apple yang merupakan hasil usaha gigih seorang pengumpul Poland selama bertahun-tahun.

    “Ia adalah koleksi Apple terbesar dan paling lengkap di dunia,” kata Jacek Lupina, seorang arkitek berusia 56 tahun, yang mengumpulkan koleksi merangkumi seluruh sejarah gergasi teknologi Amerika Syarikat itu.

    Muzium ini ditempatkan di Fabryka Norblina, sebuah kilang bata merah dari awal abad ke-19 di tengah Warsaw yang telah bertukar menjadi ruangan runcit dan hiburan.

    Di pintu masuk terdapat replika Apple 1, dikeluarkan pada tahun 1976, yang merupakan komputer peribadi pertama dijual oleh pengasas syarikat, Steve Jobs dan Steve Wozniak. Sebanyak 200 model Apple 1 telah dihasilkan dan dijual pada masa itu dengan harga AS$666.66 (620 euro) setiap satu.

    “Matlamat saya adalah untuk pelawat dapat melihat bagaimana permulaannya yang begitu ringkas dan sangat sederhana. Kotak untuk Apple 1 diperbuat daripada kayu! Sesuatu yang tidak kita miliki pada hari ini,” kata Lupina.

    Replika komputer Apple 1 dipamerkan di Muzium Apple yang baru dibuka di Warsaw, Poland.
    – AFP
    Jacek Lupina, pemilik Muzium Apple yang baharu dibuka bergambar dengan komputer mac vintaj di Muzium di Warsaw, Poland. – AFP
    Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi muzium tersebut. – AFP
    Komputer Apple daripada generasi berbeza dipamerkan. – AFP
    Seorang kanak-kanak begitu teruja melihat komputer Macintosh yang diperbuat daripada lego. – AFP

    Pengumpul itu menggunakan komponen dari masa model dipasang hingga motherboard yang telah ditandatangani oleh Wozniak sendiri semasa lawatan ke Poland pada 2018.

    “Dia meneliti semua pematerian, komponen dan sangat menghargai kerja itu. Dia juga menunjukkan kepada saya bahagian yang dia dan Steve Jobs ingin ubah tetapi tidak pernah kesampaian,” kata Lupina.

    Muzium ini memiliki berpuluh-puluh komputer seperti Apple II, Lisa, iMac, Power Mac, Macbook, Mac Pro, serta iPhone, iPod, iPad, buku arahan, perisian dan objek lain keluaran Apple.

    Dindingnya dihiasi dengan poster pengiklanan asli, termasuk dari kempen ‘Think Different’ yang terkenal dari 1997 yang memaparkan imej Bob Dylan, Pablo Picasso dan Albert Einstein.

    Lupina berkata dia mula mengumpul ‘hanya untuk keseronokan melihatnya’ dan kerana produk itu sebelum ini ‘terlalu mahal untuk penduduk Eropah pasca-komunis’.

    Setelah beberapa lama, koleksi itu mula mengambil alih rumahnya di pinggir Warsaw yang bermula dari ruang pejabatnya dan kemudian ruang tamu.

    “Saya menjual perabot di ruang tamu seperti meja, kerusi dan saya hanya tinggalkan beberapa kerusi,” katanya.

    Pada 2017, dia menjadikan rumahnya sebagai muzium. Apabila dia kehabisan ruang, dia menemui premis baharu dan muzium baharu dibuka hujung minggu lalu.

    Lupina menghabiskan semua masa lapangnya untuk koleksi itu, kadangkala melepasi sepanjang malam berikutan lelongan dalam talian yang berlaku di bahagian lain di dunia. Ia adalah hobi yang mahal, katanya, sambil menambah: “Saya tidak mempunyai sebarang simpanan atau pencen, hanya koleksi saya.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...