Bermula untung $10, kini berjaya buka 4 cawangan

Oleh Salawati Haji Yahya

Bak kata peribahasa Melayu ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ dan ‘Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian’, antara kata-kata penguat semangat bagi belia yang hendak mencuba nasib mereka dalam industri perniagaan yang kini ‘bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan’.

Melihat kepada industri perniagaan di negara ini, ramai belia merebut peluang untuk terjun ke dalam bidang tersebut, walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang berbeza malah ada yang tidak pernah terlibat dalam industri itu, namun mereka tetap bersemangat untuk mencubanya.

Menjadi seseorang yang bergelar usahawan bukan suatu yang mudah, apalagi bermula dari kosong, perlu banyak persediaan untuk difikirkan sama ada dari segi modal, kira-kira, pekerja, kelengkapan, sijil kebenaran berniaga, lokasi berjaja dan sebagainya agar perusahaan yang dijalankan itu nanti tidak akan berakhir dengan kekecewaan atau kerugian.

Dalam usaha berkongsi pahit manis cabaran dan kejayaan yang dilalui dalam membangunkan perniagaan, penulis sempat menemu bual pemilik Jazzy Burger, Awang Mohammad Jasmin bin Hassan, baru-baru ini.

Pernah terlibat sebagai suara latar Madagascar

Seperti lazimnya, hidangan burger memang sudah tidak asing lagi di negara ini, tetapi untuk bersaing secara sihat bersama penjual burger lain, Awang Mohammad Jasmin telah mencipta kelainan tersendiri untuk memikat hati pelanggan dengan menghasilkan pati burger dan gabungan sos buatan sendiri.

Pemilik Jazzy Burger menjadikan cabaran yang dihadapi sebagai pemangkin untuk terus berjaya.
Burger yang dihasilkan menggunakan pati dan sos buatan sendiri berjaya memikat hati pelanggan.
Awang Mohammad Jasmin pernah merakamkan suara latar dalam filem kartun Madagascar di Malaysia. – Agensi

Semasa ditemui, beliau yang sibuk menyediakan persiapan untuk membuka kaunter burger di kawasan bangunan perniagaan di Serusop, tidak menghampakan pasukan penulis untuk berkongsi pengalaman membangunkan perniagaan kecil beliau ini.

Apa yang menariknya lagi, Awang Mohammad Jasmin bukan saja memikat hati pelanggannya dengan burger ciptaan tersendiri malah beliau juga mampu menyanyi dengan suara yang merdu.

Tidak disangka, rupa-rupanya, beliau pernah diundang oleh pihak Astro di Malaysia untuk membuat rakaman suara latar bagi cerita kartun Madagascar dengan memegang watak penguin yang dikenali sebagai Private pada 2010 dan menghasilkan empat buah lagu pada 2015.

Memilih untuk menjual burger

Kemudian pada sekitar tahun 2015, bermula episod keinginan untuk terlibat dalam industri perniagaan setelah mendapatkan pandangan rakan-rakan dari industri muzik di Malaysia yang kebanyakannya mempunyai pendapatan sampingan dengan menjual burger.

Setelah melihat usaha yang dibuat oleh rakan-rakan dalam industri itu, beliau menjadikan ia sebagai dorongan untuk mencuba nasib menjual burger dengan menggunakan daging burger buatan sendiri di Brunei, walaupun tahu banyak saingan yang akan dihadapinya.

Sebaik pulang dari Malaysia, beliau memaklumkan hasratnya kepada kedua-dua orang tuanya untuk mencuba nasib dalam industri perniagaan burger di mana mereka selaku ibu bapa memberi sokongan dengan membuat pondok kecil di hadapan rumah.

Cabaran awal perniagaan

Jazzy Burger mula diperkenalkan pada tahun 2015 yang hanya diusahakan oleh Awang Mohammad Jasmin sendiri dengan dibantu oleh ibu beliau selain mempromosikannya menerusi laman-laman media sosial.

Menurutnya, pada awal perniagaan selama seminggu, pendapatan diperolehi hanya $10 setiap hari tapi ia tidak mematahkan semangat dan berjaya bertahan sehingga ke hari ini.

Pada peringkat permulaan itu, memang banyak cabaran yang dihadapi dan ia bukan satu perkara yang mudah untuk memikat hati pelanggan dan orang ramai untuk mencuba produk perniagaan yang dihasilkan.

Setelah hampir enam tahun membuka perniagaan burger ini, empat cawangan telah dibuka walaupun ianya kecil tapi berjaya menarik perhatian ramai orang untuk menikmati burger Jazzy ini yang boleh dinikmati pada bila-bila masa.

Seperti yang diketahui umum, hidangan burger memang mudah diperolehi di mana-mana di sini tetapi untuk Jazzy Burger ini, keunikannya ialah pati burger dan sosnya dibuat menggunakan resipi sendiri.

Setakat ini, ia mempunyai empat sos iaitu Black Pepper, BBQ, Summber Sos untuk Ayam dan Loko Sos yang mana sos ini dihasilkan menggunakan resipi sendiri selain burger tersebut ditambah dengan cendawan segar untuk menambah kelainan dengan burger yang ada di negara ini.

Harapan akan datang

Beliau seterusnya berharap pada masa akan datang untuk memiliki food truck seperti rakan-rakannya di Malaysia selain menjadikan perniagaan burgernya sebagai jenama Brunei dengan langkah terbaharu untuk menghasilkan roti burger sendiri.