Bermulanya era kedua Zidane

MADRID, 14 OGOS – Zinedine Zidane kembali untuk menyelamatkan Real Madrid dan masanya sudah tiba untuk melihat hasilnya.

Dalam satu sidang media yang penuh sesak di Santiago Bernabeu pada Mac, presiden kelab, Florentino Perez menyampaikan satu pengenalan semula yang luar biasa.

“Kita perlu mula bekerja ke arah era baharu yang gilang-gemilang,” kata Perez.

“Sebab itu kami mengalu-alukan semula Zinedine Zidane.”

Sebahagian pihak mungkin menjangkakan kebangkitan namun tiada siapa menyalahkan jurulatih itu ketika prestasi terus merosot dan jurang dengan Barcelona pula semakin luas.

Zinedine Zidane duduk di bangku simpanan sambil menyaksikan pasukannya menentang Roma dalam aksi persahabatan di Rom baru-baru ini. – AP

Zidane mengambil alih sebuah pasukan yang ketika itu tiada lagi hendak direbuti dan skuad yang diketahuinya perlu diubah. Dia mengetahuinya kerana dia sudah meninggalkannya sembilan bulan lebih awal, hanya sebelum ia ‘patah’.

Tiada penyelesaian segera. Dalam baki 11 perlawanan kendaliannya musim lepas, Madrid menang lima, dan satu-satunya janji adanya kemajuan adalah Zidane kerap mengatakan, “Ia akan berubah, itu pasti.”

Pemerhati melihat perlawanan-perlawanan itu seperti percubaan meskipun Zidane menafikannya, setiap kesebelasan dilihat bagi petanda siapa yang akan terselamat pada musim panas. Namun semua itu seperti keputusan dan kehadiran di Santiago Bernabeu yang berkurang tidak lagi penting.

“Apa yang hebatnya adalah ia sudah berakhir,” kata Zidane, selepas musim lepas berakhir dengan kekalahan.

Dan kini ia bermula lagi, musim baharu dan era kedua Zidane sebagai jurulatih.

Ramai tertanya-tanya kenapa dia kembali, merisikokan segala-galanya selepas menyempurnakan tiga gelaran Liga Juara-Juara daripada tiga musim.

Jangkaan adalah dia kembali dengan lebih kuat, mampu mendesak kelab untuk memenuhi permintaannya dan menyokongnya dalam membina semula pasukan seperti yang dimahukannya. Dan dia turut menerima rangsangan apabila Eder Militao, Ferland Mendy, Luka Jovic, Rodrygo dan Eden Hazard kesemuanya ditandatangani dengan kos keseluruhan 300 juta euro. – AFP