Bernie Sanders gantung kempen pemilihan presiden AS

WASHINGTON, 9 APRIL – Senator berhaluan kiri Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders, menggantung kempen beliau untuk pemilihan Presiden semalam.

Tindakan beliau itu sekali gus membuka laluan kepada pesaingnya, Joe Biden, untuk meraih jaminan pencalonan Demokrat dan mencabar Donald Trump pada November depan.

Sosialis Demokrat berusia 78 tahun itu menggegarkan persaingan tahun ini dengan berterusan memperjuangkan ‘keadilan ekonomi’ untuk seluruh rakyat Amerika dan menuntut penjagaan kesihatan sejagat.

Namun, beliau mengakui kempennya gagal berikutan pengundi parti memutuskan Biden akan menjadi calon lebih kuat untuk menentang Trump pada pilihan raya umum itu.

“Saya membuat kesimpulan bahawa perjuangan untuk pencalonan Demokrat ini tidak akan berjaya,” kata Sanders kepada penyokong beliau melalui siaran langsung dari kediamannya.

Gambar fail menunjukkan Joe Biden (kanan) bercakap bersebelahan Bernie Sanders semasa perdebatan Demokratik keempat musim kempen presiden 2020 di Universiti Otterbein di Westerville, Ohio pada 15 Oktober 2019. – AFP

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan semua kempen pemilihan pihak terbabit itu ditangguhkan.

“Naib Presiden Biden akan menjadi calon,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada lelaki itu.

Beliau turut menyifatkan Biden sebagai ‘seorang lelaki sangat baik, yang akan bekerjasama dengan saya untuk menggerakkan idea progresif kami ke hadapan.’

Sanders yang mencabar Hillary Clinton untuk pencalonan parti pada 2016, mengemukakan tawaran 2020 yang hebat.

Beliau mengutip jumlah sumbangan amat tinggi, menjadi pendahulu pada awal tahun ini dan meraih undian paling banyak dalam tiga saingan pertama di seluruh negeri. – AFP