Berpeluang saksikan fenomena squall line

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Orang ramai berpeluang menyaksikan satu fenomena cuaca yang dipanggil squall line pada Ahad, 7 Jun lalu sekitar jam 7:30 di negara ini.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan hari ini berkata bahawa fenomena squall line tersebut adalah kumpulan aktiviti convective yang sangat aktif, selalunya disertai dengan ribut petir dan angin kencang. Sementara itu pada barisan depan squall line pula sering kali terdiri dari awan Arcus.

Kebiasaannya, terdapat dua jenis awan Arcus, iaitu awan rak (shelf cloud) dan juga awan gulung (roll cloud). Awan rak merupakan salah satu ciri yang boleh didapati pada awan Cumulonimbus (awan ribut petir).

Awan rak, jelas kenyataan itu lagi merupakan awan yang lazimnya dilihat pada masa ini iaitu ketika musim barat daya. Sementara itu, bagi para penggemar awan bolehlah mengongsikan koleksi gambar-gambar awan mereka kepada Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam melalui akaun Facebook atau Instagram mereka @bruneiweather.

Fenomena cuaca Squall Line diperhatikan pada 7 Jun 2020 sekitar jam 7:30 pagi.