SYDNEY, 3 FEB – Berpuluh-puluh koala dimatikan dan sekitar 80 lagi dirawat kerana kecederaan dan kebuluran akibat pembalakan, mencetuskan penyiasatan kerajaan Australia hari ini.
Jabatan alam sekitar Victoria mengatakan penguat kuasa pemuliharaan negeri sedang menyiasat ‘insiden menyayat hati’ itu di sebuah ladang bluegum berhampiran bandar pesisir pantai Portland yang mengakibatkan kematian berpuluh-puluh koala.
“Jika ia didapati perbuatan sengaja manusia, kami menjangkakan penguat kuasa pemuliharaan bertindak segera ke atas mereka yang bertanggungjawab,” menurut jabatan itu.
Mereka yang bertanggungjawab boleh berhadapan denda di bawah undang-undang perlindungan hidupan liar Australia.
Jabatan alam sekitar mengatakan sekurang-kurangnya 80 ekor koala dipindahkan dari tapak ladang itu pada hujung minggu bagi rawatan perubatan, manakala yang lainnya terpaksa dimatikan.
“Bahagian penilaian kebajikan hidupan liar dan triaj akan meneruskan rawatan dan penjagaannya,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
“Rancangan akan dilaksanakan bagi penempatan semula haiwan berbaki di tapak tersebut jika ia cukup sihat untuk dipindahkan,” tambahnya. – AFP




























