Bersalah bawa anjing masuk masjid

JAKARTA, 6 FEB – Seorang wanita Indonesia didakwa di mahkamah atas tuduhan menghina institusi keagamaan kerana membawa anjing memasuki masjid, dalam kes yang tular di republik itu.

Suzethe Margareth, 52, mencetuskan kemarahan di negara berpenduduk majoriti Islam terbesar di dunia itu, berikutan tersebar video menunjukkan dia di dalam sebuah masjid di Bogor, dekat Jakarta, dengan memakai kasut dan membiarkan anjingnya berkeliaran.

Anjing adalah haram dalam agama Islam manakala memakai kasut atau selipar dilarang sama sekali dalam masjid.

Mahkamah di Bogor memutuskan bahawa Margareth bersalah tetapi tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana dia menghidap masalah mental ‘paranoid schizophrenia’, walaupun pihak pendakwa raya memohon hukuman penjara sembilan bulan.

Margareth, dalam keterangannya, berkata dia ke masjid berkenaan kerana ‘dikejar’ dan ‘mendengar suara dalam kepalanya’ mengatakan suaminya akan berkahwin di sana.

Peguamnya mengalu-alukan keputusan mahkamah itu, yang dibuat berdasarkan pertuturan dan tingkah laku tertuduh, tetapi wakil pihak masjid, Ruslan A Suhady, mengkritik pembelaan berasaskan masalah mental itu.

Sementara itu, anjing yang terbabit dalam kontroversi itu dilaporkan mati dilanggar kereta tidak lama selepas kejadian. – AFP