Bersalah lakukan gangguan seksual di tempat kerja

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Mahkamah Majistret hari ini telah mendapati seorang anggota polis kanan bersalah atas pertuduhan melakukan gangguan seksual ke atas seorang rakan setugas wanita.

Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman menangguhkan untuk menjatuhkan hukuman ke atas Timbalan Superintenden Ramzi Hayatina bin Dato Haji Ibrahim kepada tarikh 15 Jun depan sementara mempertimbangkan hukuman setimpal.

Hajah Anifa Rafiza, yang menjalankan perbicaraan mewakili pihak pendakwaan, membuktikan kes terhadap Ramzi atas pertuduhan melakukan isyarat seksual terhadap seorang lans koperal wanita ketika mereka berada di Pejabat Pentadbiran Polis Lapangan Terbang pada pukul 11:26 pagi, 14 September 2019.

Masjitret semasa mensabitkan tertuduh menyatakan bahawa beliau mendapati bukti mangsa adalah konsisten, gambaran dan demonstrasi-nya yang jelas menunjukkan bahawa dia tidak bersetuju dengan tindakan itu dan tertuduh telah melakukan perbuatan itu dengan sengaja.

Mahkamah percaya bahawa saksi-saksi pendakwaan yang lain tidak mempunyai alasan untuk melalui proses berisiko seperti membuat dakwaan seksual terhadap tertuduh.

Mahkamah juga tidak mendapati kelewatan dalam laporan oleh mangsa dalam hal itu, walaupun terdapat berbagai-bagai alasan mengapa mangsa tidak segera membuat laporan polis.

Sementara itu, mesej yang dikirim oleh tertuduh kepada mangsa yang memintanya menarik balik dakwaannya menunjukkan bahawa dia tahu dia telah mencabul kehormatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Abdul Rahman menegaskan bahawa kesalahan itu berlaku di tempat kerja, dilakukan oleh pegawai tinggi dan merupakan atasan mangsa.

Pihak pendakwaan juga mendesak mahkamah untuk mempertimbangkan mengenai isyarat seksual yang dilakukan oleh tertuduh kepada mangsa.

Peguam bela Ramzi, Yusof Halim memohon pertimbangan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman dengan mempertimbangkan hakikat bahawa kliennya akan kehilangan pekerjaannya dan dipenjarakan yang akan menghalang sokongan terhadap keluarganya.