Bersama baca Yasin, doa mohon dihindari wabak

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 12 SEPT – Demi memohon keselamatan dan kemudahan bagi Negara Brunei Darussalam dalam berdepan dengan ancaman wabak COVID-19, Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Tutong menerusi Projek Kasih IMPAK telah mengadakan Majlis Bacaan Surah Yasin dan Tahlil serta Doa Memohon Terhindar daripada Wabak COVID-19 secara dalam talian, baru-baru ini.

Hadir selaku jemputan khas dalam majlis kerohanian yang diadakan buat kali kelima itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu, juga selaku penghulu Mukim Bokok, yang telah disertai oleh beberapa belia dan beliawanis dari ketiga-tiga daerah yang lain.

Projek Kasih IMPAK merupakan sebuah projek keagamaan yang dilaksanakan setiap Jumaat agar dunia dan juga negara yang dicintai ini akan terhapus daripada penularan wabak virus dan memohon dengan kerendahan hati agar masyarakat di negara ini sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran jiwa serta terhindar dari segala musibah, di samping sentiasa mendoakan insan-insan yang sudah kembali ke rahmatullah.

Pengerusi kumpulan berkenaan, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan menyatakan bahawa majlis seumpama itu merupakan usaha memohon pertolongan kehadrat Allah SWT atas segala ujian yang dihadapi.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan Yang Berhormat Haji Emran yang turut menyertai majlis tersebut.