Bersama bangunkan TVET

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Dengan negara-negara di seluruh dunia dan serantau meletakkan lebih keutamaan kepada latihan dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bagi pembangunan sosial serta ekonomi, harapan yang tinggi diletakkan kepada SEAMEO VOCTECH untuk mencapai mandatnya iaitu untuk membantu negara-negara anggota SEAMEO untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah bersama dalam TVET.

Pada masa yang sama, usaha itu juga menjadi lebih mencabar disebabkan pembangunan ekonomi yang tidak serata antara negara-negara anggota serta perubahan sukar diduga yang dibawa oleh perkembangan pesat teknologi. Oleh itu, adalah amat penting bagi SEAMEO VOCTECH untuk menyediakan kepakaran dan perkhidmatan yang bukan sahaja akan memenuhi keperluan negara-negara individu tetapi juga membawa ke arah pembangunan positif serta meningkatkan sistem TVET serantau dalam jangka pendek dan panjang secara menyeluruh.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh ketika berucap pada Majlis Program Penaikan Kemahiran Teknikal bagi Guru dan Jurulatih TVET di Asia Tenggara dan Mesyuarat Lembaga Penguasa SEAMEO VOCTEH ke-30 yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Gadong, hari ini. Beliau menambah lagi bahawa segala usaha itu boleh dicapai dengan perancangan dan strategi yang teratur dan beliau amat gembira mengetahui bahawa 1 Julai lalu, bermulanya Pelan Pembangunan Lima Tahun ke-6 (FYDP) pusat berkenaan yang membawa tema ‘Menyediakan TVET bagi Industri 4.0’.

Beliau berkata bahawa tema itu amat bertepatan memandangkan perlunya bagi set kemahiran yang baharu untuk tenaga kerja seperti kemahiran generik dan juga fungsi kognitif peringkat tinggi sebagai respons kepada keperluan industri 4.0. Oleh itu, beliau menyeru anggota lembaga penguasa untuk memberikan bimbingan berterusan, sokongan dan hala tuju kepada SEAMEO VOCTECH dalam mencapai visinya menjadi sebuah Pusat Kecemerlangan Serantau dalam TVET yang dikenali global.

Dalam hubungan revolusi industri 4.0, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah mengambil maklum bahawa SEAMEO VOCTECH melaksanakan sebuah platform ilmu pengetahuan serantau yang dikenali sebagai SEA-VET.NET dengan kerjasama GIZ-RECOTVET. Ia merupakan sebuah platform dalam talian yang akan mengisikan kekurangan masa kini serantau dengan memberikan pengamal dan penggubal dasar sebuah laluan bagi memperbaiki serta pengharmonian TVET serantau merentas sempadan.

Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah menekankan pentingnya peranan pendidikan dan latihan vokasional dan teknikal bagi pembangunan ekonomi dan sosial negara.