Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Bagi mengurangkan kadar serta aktiviti jenayah daripada terus berleluasa, Daerah Polis Brunei dan Muara dengan kerjasama Focal Point Pengawasan Kejiranan Ibu Pejabat Polis Daerah Brunei dan Muara dan Balai Polis Limau Manis semalam telah mengadakan rondaan pencegahan jenayah.
Rondaan tersebut diketuai oleh SM 3096 Pengiran Mohd Noorhasni bin Pengiran Haji Omar bersama ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Batong yang diketuai oleh Ketua Kampung Batong, Haji Saban bin Lamat.
Rondaan menggunakan kenderaan itu telah dijalankan di kawasan Kampung Batong dan kawasan-kawasan di bawah jagaan Ketua Kampung Batong bagi memantau dan memastikan kawasan kampung sentiasa dalam keadaan selamat dari sebarang kegiatan jenayah.
Dalam rondaan berasingan, Daerah Polis Belait telah menjalankan rondaan pencegahan jenayah yang diselenggarakan oleh lima orang anggota dari Balai Polis Seria semalam.
Operasi tersebut diketuai oleh wakil dari Unit Perhubungan Awam Polis SM 2425 Awang Mohd Suzaini bin Abdul Karim selaku Urus Setia PK dengan kerjasama seramai 10 ahli PK Rancangan Perumahan Negara Kampung Panaga 2000 yang diketuai oleh Awang Zaleha bin Lahap selaku Timbalan Pengerusi PK RPN Kampung Panaga.
Rondaan tersebut dijalankan dari jam 10.30 malam sehingga awal pagi.
Rondaan yang dibuat secara berjalan kaki di kawasan itu walau bagaimanapun tidak menemukan sebarang kejadian atau kegiatan yang mencurigakan.
Dengan adanya rondaan yang diadakan seumpama ini diharap akan dapat meningkatkan lagi kewaspadaan masyarakat dalam sama-sama memastikan keselamatan kawasan kampung mereka agar bebas daripada sebarang jenayah dan tidak ‘camah mata’ dalam mencegah jenayah di kawasan kampung masing-masing.