Bersama bersihkan pantai

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 18 DIS – Bersempena dengan Hari Bertindak, Hari Sukarelawan Antarabangsa 2019, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkarai telah mengadakan Kempen Kebersihan Pantai Seri Kenangan Daerah Tutong, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan yang dialu-alukan oleh Pemangku Ketua Kampung Sengkarai, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.

Turut hadir ialah para pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Tutong serta ahli-ahli jawatankuasa MPK Sengkarai.

Acara yang turut dibantu oleh gabungan MPK Daerah Tutong, Komuniti Belia Daerah Tutong, Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Tutong serta sukarelawan Daerah Tutong itu telah dimulakan dengan sesi perkumpulan di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai.

Awang Abdul Aziz semasa menyampaikan ucapan alu-aluan menjelaskan bahawa acara seumpamanya perlu diadakan dari semasa ke semasa kerana ia mampu melahirkan insan-insan yang berjiwa dan bersemangat kesukarelawanan dengan sepenuh hati serta memupuk semangat bersatu padu, bergotong-royong dan tidak camah mata dalam diri dan jiwa.

Hal ini, tambah beliau, amat penting disemai dalam diri semua pihak agar sentiasa berganding bahu dengan pihak kerajaan dan juga swasta demi sama-sama menjaga dan melestarikan alam sekitar.

Antara yang terlibat dalam Kempen Kebersihan Pantai Seri Kenangan, Daerah Tutong yang dikendalikan MPK Sengkarai, baru-baru ini. – Gambar oleh Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan