Bersama bertindak pelihara alam sekitar

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Berbagai-bagai cabaran harus ditempuhi dalam usaha untuk melindungi dan mentadbir urus biodiversiti sama ada di peringkat negara, serantau mahupun antarabangsa.

Pembangunan yang tidak lestari, perdagangan dan pemburuan haram, penebangan hutan yang tidak mampan, kaedah penangkapan ikan yang tidak terkawal, kehilangan habitat, pencemaran, dan perubahan iklim adalah antara punca yang menyumbang ke arah kepupusan dan ancaman terhadap biodiversiti.

“Masalah ini perlu ditangani secara holistik dan memerlukan kerjasama dari berbagai-bagai pihak melalui pendekatan ‘Whole of Nation’,” tekan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dalam perutusannya sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2020 yang disambut pada 5 Jun.

Dalam perutusannya itu, beliau menyatakan bahawa 2020 menandakan Super Year bagi biodiversiti atau kepelbagaian biologi di mana tema Time for Nature telah dipilih yang memfokuskan kepada kepentingan biodiversiti atau kepelbagaian biologi dalam penyediaan keperluan infrastruktur bagi menyokong kehidupan dan pembangunan di muka bumi dan keperluan untuk kita menjaganya.

Beliau berkata, bagi sambutan pada tahun ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) akan meneruskan kempen ‘Take Your Action, Make A Difference’ yang telah bermula pada April lalu dan mengajak orang ramai untuk bertindak dan memainkan peranan masing-masing dalam memelihara keindahan alam sekitar yang telah dikurniakan kepada kita.

Memandangkan negara masih lagi berada di bawah ancaman wabak COVID-­19, beberapa aktiviti telah disusun atur termasuk secara atas talian dan juga virtual run yang boleh disertai secara persendirian dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan serta pihak berkuasa yang lainnya.

Sepanjang Jun ini, JASTRe akan bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan dan organisasi bukan kerajaan (NGO), Persatuan Biodiversiti dan Sejarah Alam (BruWILD) untuk menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran terhadap kepelbagaian biologi di negara ini melalui media sosial JASTRe (@jastre.bn) di samping bekerjasama dengan rakan media Radio Televisyen Brunei untuk mengadakan kuiz di stesen-stesen radio terpilih.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan menegaskan masalah biodiversiti perlu ditangani secara holistik dan memerlukan kerjasama dari berbagai-bagai pihak melalui pendekatan ‘Whole of Nation’.