Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Orang ramai tidak ketinggalan menyokong dan menyertai usaha mencapai matlamat 1 Bilion Langkah selepas pelancaran BN on the Move, iaitu sebuah pelan promosi kesihatan dalam aplikasi BruHealth untuk membantu menjejak setiap langkah yang diambil bagi kempen selama tiga bulan untuk mencapai 1 Bilion Langkah Bersama.
Kempen dihasratkan menggalakkan warga dan penduduk negara ini supaya berjalan bagi mencapai sekurang-kurangnya 1 bilion langkah dan menjadi lebih sihat bersama.
BN on the Move dan 1 Bilion Langkah Bersama, Bru-Health dilancarkan dengan acara walkaton bermula di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, untuk menggalakkan negara bergerak aktif menjayakan gaya hidup yang lebih sihat, hari ini.
Inisiatif dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan dan EVYD Technology itu telah dilancarkan oleh menteri-menteri kabinet iaitu Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha
serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Para menteri kabinet bersama-sama orang ramai yang menyertai acara walkaton berjalan kira-kira 6 kilometer bermula dan kembali ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien untuk sama-sama menyumbang kepada kempen 1 Bilion Langkah Bersama.
Sehingga pukul 3 petang, lebih 54 juta langkah telah didaftarkan bagi 1 Bilion Langkah Bersama melalui BN on the Move.
Kempen itu merupakan salah satu daripada lebih banyak aktiviti promosi kesihatan yang dirancang oleh Kementerian Kesihatan dan EVYD Technology dengan kita bergerak menuju ke arah Wawasan Brunei 2035, iaitu sebuah visi negara yang termasuk mempromosikan gaya hidup lebih sihat yang menyumbang kepada kualiti kehidupan yang tinggi.
Dalam temu bual ringkas bersama pihak media, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyatakan bahawa kehadiran orang ramai yang sungguh memberangsangkan itu menunjukkan bahawa inisiatif pendekatan senegara itu, mendapat sokongan daripada ramai orang untuk sama-sama menyertai aktiviti fizikal bagi menjayakan inisiatif BN on the Move.
Beliau menyatakan bahawa bagi mereka yang tidak dapat menyertai acara pagi tadi, mereka masih dapat menyertai melalui aplikasi BruHealth untuk sama-sama menjayakan hasrat mencapai 1 Bilion Langkah Bersama.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyatakan keyakinan bahawa kita akan mencapai sasaran itu.
“Ini merupakan sebuah platform bagi kita untuk meneruskan usaha kita meningkatkan aktiviti fizikal. Awda tidak perlu berlari atau menyertai maraton. Langkah demi langkah kita akan dapat melakukannya bersama. Bersama kita akan dapat mengekalkan kesejahteraan komuniti dan membendung penyakit tidak berjangkit,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai sasarannya sendiri, Yang Berhormat Dato mendedahkan bahawa beliau berharap untuk mencapai 10,000 langkah setiap hari.
Beliau menyatakan bahawa kita memerlukan 150 minit senaman sederhana setiap minggu dan ia amat mencabar untuk dicapai dengan komitmen harian kita.
Oleh itu, tambahnya, se-tiap langkah itu bermakna dan kita boleh mencabar diri kita sendiri.
Mengulas mengenai pelancaran ciri BN on the Move, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa ia merupakan satu ciri pengurusan kesihatan dalam aplikasi BruHealth di mana ia diharap dapat menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat
dengan bersenam atau mengendalikan aktiviti bersama.
Beliau menjelaskan bahawa penjejak aktiviti menyediakan data yang membolehkan mereka untuk menjadi lebih peka akan tahap aktiviti fizikal dan berusaha ke arah mencapai matlamat serta memantau perkembangan.
Kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal dan berjalan kaki boleh membawa kepada pengurangan berat badan, memperbaiki toleransi glukosa dan mengurangkan tekanan darah.
Sebagai sebahagian daripada rancangan Kementerian Kesihatan untuk membangunkan lagi aplikasi Bru-Health supaya menjadi aplikasi kesihatan digital yang boleh mempunyai rancangan kesihatan khusus bagi setiap individu, kementerian tersebut dan EVYD Technology telah merangka rancangan untuk memperkenalkan pembaikan secara berfasa kepada BruHealth untuk memastikan orang ramai mendapat manfaat daripada penggunaannya dan menyesuaikan BruHealth bagi rancangan pengurusan kesihatan seseorang itu.