Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Bersama capai kecemerlangan pendidikan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kehadiran murid-murid ke sekolah menjadi salah satu keutamaan yang perlu ditekankan dari semasa ke semasa.

    Sehubungan itu, para guru perlu bekerjasama menggalas amanah dan tanggungjawab demi melahirkan anak-anak didik yang cemerlang dan gemilang bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

    “Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa guru-guru sentiasa bersiap sedia melaksanakan tanggungjawab yang terbaik untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih efektif dari semasa ke semasa,” kata Guru Besar Sekolah Rendah Muda Hashim, Daerah Tutong, Dayang Sanah @ Bazlaa’ Hasanah binti Haji Daud semasa ditemui penulis di Sekolah Rendah Muda Hashim, baru-baru ini.

    “Saya juga percaya mereka sudah sedaya upaya membuka minda dan jiwa mereka untuk mengikuti sesi pembelajaran dengan sebaiknya di samping sokongan para ibu bapa dan penjaga mereka.

    “Semoga dengan menyemai jiwa keikhlasan dalam menempuhi arus pendidikan yang penuh cabaran ini, kita akan sentiasa komited dalam mencapai visi dan misi sekolah secara holistik demi sama-sama memohon rahmatNya,” tambahnya.

    Suasana semasa kemasukan murid-murid prasekolah di Sekolah Rendah Muda Hashim, baru-baru ini.

    Dayang Sanah semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

    Persediaan lebih awal

    Berbicara mengenai persediaan yang ditekankan setiap kali menempuhi persekolahan baharu, Dayang Sanah menjelaskan dari segi pentadbiran, beliau akan menyediakan tugas dan tanggungjawab guru serta merancang segala kegiatan yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2023.

    Salah satu persediaan bagi mengalu-alukan kemasukan murid pra persekolahan, kebiasaannya pihak sekolah dan guru akan mengadakan program orientasi yang antaranya bertujuan bagi mendedahkan kanak-kanak yang bakal menempuhi alam persekolahan agar sentiasa bersiap sedia dengan mengikuti pembelajaran bersama guru dan menyelami suasana persekitaran sekolah.

    Manakala murid-murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6 pula, pihak sekolah turut menyediakan pelbagai aktiviti khusus yang dirancang oleh guru masing-masing dua hari lebih awal sebelum pembukaan sesi persekolahan baharu. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah team-building, sesi suai kenal, dan sebagainya.

    “Usaha ini tidak lain demi meningkatkan motivasi para murid agar merasa gembira datang ke sekolah umpama warm up bersama guru-guru sebelum meneruskan pengajaran dan pembelajaran secara formal pada hari-hari seterusnya,” ujarnya.

    Memperkasa kualiti guru dan murid

    Dayang Sanah sudah menggalas amanah sebagai guru besar di sekolah berkenaan kira-kira 10 tahun.

    Beliau mengemukakan satu hal yang juga dititikberatkan dalam pentadbiran sekolah iaitu perancangan strategik di mana ia begitu penting dilaksanakan untuk memandu guru-guru di bawah pimpinan beliau dalam sama-sama menerapkan pengajaran yang terbaik agar semua murid mampu mencapai keputusan cemerlang sejajar dengan wawasan negara 2035.

    “Oleh itu, bagi golongan guru, apa yang sentiasa diusahakan bersama ialah meningkatkan prestasi pengajaran guru dari gred tiga ke atas.

    “Pihak sekolah juga berjuang membantu meningkatkan pencapaian keputusan pembelajaran para murid dari gred A hingga gred C.

    “Itulah antara perancangan strategik sekolah dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2019 lagi,” jelasnya penuh harapan.

    Pemantauan berterusan secara holistik

    Dalam melaksanakan strategi dan langkah-langkah kecemerlangan sekolah, Dayang Sanah bersama guru-guru dan kakitangan sekolah sentiasa menetapkan rancangan-rancangan tertentu dengan membahagikan kepada empat bahagian utama iaitu pentadbiran, akademik, hal ehwal pelajar, dan kokurikulum.

    Jelasnya, setiap rancangan yang diatur berkenaan sentiasa berpandukan strategi dan langkah berterusan demi sama-sama mencapai visi sekolah berkenaan iaitu Pendidikan Berkesan, Sekolah Berjaya dan juga misinya, Sekolah untuk Melahirkan Pelajar Berpendidikan, Berkemahiran dan Bersahsiah.

    Menyentuh mengenai strategi dan langkah bagi meningkatkan kualiti te-naga pengajar sekolah berkenaan, beliau menjelaskan pihak sekolah menetapkan beberapa program tertentu antaranya teknik pedagogi, pembangunan kakitangan dan sesi perkongsian serta Committee Subject Meeting (CSM).

    CSM merupakan satu platform terbaik untuk mengembangluaskan lagi pemikiran dan kemahiran para guru sekaligus meningkatkan kualiti dan kredibiliti pendidik dalam subjek masing-masing.

    Jelasnya, menerusi program yang dijalankan secara rutin itu, mereka berkumpul untuk membincangkan pelbagai perkara termasuk kekurangan dan keperluan bantuan pengajaran dalam menangani dan menambah baik permasalahan yang dihadapi.

    Sementara dari segi perkembangan murid pula, dengan berpandukan profiling student, guru-guru akan mengadakan ujian diagnostik bagi mengenalpasti kekuatan dan kelemahan murid-murid dalam subjek-subjek tertentu seperti dari segi aspek literasi, numerasi dan penyelesaian masalah.

    Dalam hal ehwal pelajar juga, pihak sekolah turut menerapkan nilai-nilai sahsiah menerusi amalan sedakah seangkat-angkat hati dalam kalangan guru dan murid yang dikenali sebagai tabung amal. Tabung amal berkenaan adalah bagi keperluan sumbangan kepada golongan pelajar yang memerlukan dari pihak sekolah dengan hasrat tulus bagi memenuhi pembelian perkakas sekolah, pakaian seragam, kasut dan sebagainya.

    Di samping itu, Dayang Sanah turut mengongsikan bahawa pihak sekolah juga berusaha menggalakkan murid-murid bergiat aktif dalam kokurikulum yang bukan hanya tertumpu kepada program sekolah seperti aktiviti berkebun, pelbagai permainan di dalam dan di luar kawasan sekolah yang kebiasaannya diadakan setiap hari Sabtu, bahkan juga kegiatan-kegiatan positif bersama masyarakat seperti belia masjid. Manakala senam aerorobik dan brisk walk merupakan antara kegiatan sekolah yang dilaksanakan setiap bulan.

    Setakat ini, sekolah tersebut mempunyai keramaian hampir 250 orang murid secara keseluruhannya di bawah pimpinan kira-kira 29 orang guru.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...