BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan statistik kemalangan jalan raya pada tahun 2011 hingga 2019 yang menurun daripada 3,598 kes kepada 1,196 kes, manakala kadar kematian turut berkurangan daripada 47 kepada 13 kes sahaja, sesuatu yang amat menggalakkan dan perlu dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) menyarankan usaha berterusan pencegahan kemalangan jalan raya itu ketika berkenan mengurniakan sabda secara maya pada Majlis Sempena Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2020 (WDR 2020) di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi kelmarin.
Yang Teramat Mulia dalam sabdanya turut mengingatkan agar rakyat tidak leka dan terus meningkatkan lagi usaha-usaha kesedaran dan pembudayaan pemanduan berhemah bagi kesemua pengguna jalan raya. Masyarakat juga perlu memberikan kerjasama kepada pihak-pihak yang berwajib, terutamanya polis trafik, dengan mematuhi peraturan jalan raya dan menggunakannya dengan berdisiplin dan selamat.
Yang Teramat Mulia turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk tidak lupa berdoa dan bertawakal ke hadrat Allah SWT kerana kemalangan itu bukan sesuatu yang dirancang.
“Walau apa pun penyebabnya, perkataan ‘kemalangan’ membawa konotasi negatif yang nyata, namun perkara ini turut mempersiapkan kita untuk bersedia. Insya Allah kemalangan itu boleh dicegah,” sabda Yang Teramat Mulia.

Menurutnya, pada tahun ini ‘Brunei Darussalam Blueprint Decade of Action for Road Safety 2011-2020’ akan tamat.
“Saya difahamkan, ianya akan digantikan dengan satu dokumen baharu iaitu ‘The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025’ untuk memperkukuhkan kesinambu-ngan komitmen dalam menangani isu keselamatan jalan raya. Syabas dan setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) di atas usaha gigih mereka yang berterusan.
“Pelan Strategik ini mempunyai ‘action plan’ tersendiri yang mengandungi program-program yang komprehensif untuk tempoh lima tahun akan datang. Ianya juga akan terus disejajarkan dengan ‘UN Decade of Action for Road Safety 2021-2030’ untuk sama-sama mencapai matlamat keselamatan di jalan raya dalam semangat sejagat yang terarah dan teratur.
“Dengan adanya pelan strategik ini, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui MKKJR dengan kerjasama kumpulan-kumpulan tindakan yang dibentuk dengan keahlian dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta akan dapat mengerahkan sumber dan melaksanakan inisiatif yang lebih fokus dan gigih seterusnya memberikan sokongan padu ke arah mencapai visi sifar kemalangan jalan raya.
“Saya sangat gembira dengan pendekatan ‘Whole of Nation’ ini sebagai langkah yang bijak bagi mendekatkan isu keselamatan jalan raya kepada masyarakat. Selaras dengan era teknologi digital, penubuhan laman web MKKJR sejak tahun 2019 juga adalah tepat pada waktunya. Selain daripada perbagai inisiatif fizikal yang telah dirancang ke arah keselamatan jalan raya, pemberigaan dan penyelarasan bagi menangani aspek pendidikan, perundangan dan teknikal melalui media-media sosial merupakan sumber yang sangat efektif, lebih-lebih lagi di saat dunia masa kini yang dilanda pandemik COVID-19, tambah Yang Teramat Mulia.
Terdahulu, Yang Teramat Mulia melahirkan kesyukuran kerana hari tersebut, kita sama sama-sama kembali untuk memperingati mereka yang terkorban dan cedera dalam lalu lintas jalan raya dengan memberikan sokongan dan melahirkan rasa simpati kepada ahli keluarga yang terlibat serta memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya keselamatan di jalan raya.