Bersama cegah kluster COVID-19 Aidilfitri

LABUAN, 18 MEI – Polis Labuan meminta penduduk membuat laporan di balai polis berhampiran jika melihat lebih 20 individu berkumpul di sesebuah rumah pada hari pertama perayaan Aidilfitri.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata walaupun tidak ada sekatan jalan raya semasa perayaan itu, pemantauan ketat akan dilakukan untuk memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengekang penularan COVID-19.

“Kami mengingatkan mereka yang menyambut hari raya agar tidak melanggar SOP pada hari pertama perayaan Aidilfitri. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar had 20 pengunjung untuk satu rumah,” katanya kepada Bernama hari ini, sambil menambah pemantauan ketat adalah untuk mencegah “kluster COVID-19 Hari Raya.”

Farid juga mengingatkan mereka yang ingin menunaikan solat Jumaat, solat  sunat Tarawih dan solat sunaT Aidilfitri untuk mematuhi sepenuhnya SOP penjarakan sosial.

“Sejak 4 Mei, kami mempunyai 16 pasukan peronda untuk memantau pergerakan orang ramai dalam mematuhi penjarakan sosial, di premis perniagaan atau tempat ibadah. – Bernama