Bersama dalam Memelihara Antimikrob

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Dalam meningkatkan kesedaran untuk menangani rintangan antimikrob (AMR), iaitu rintangan terhadap ubat anti mikrob sebagai tindak balas semula jadi, peranan orang ramai adalah sangat penting.

Antara yang dapat dilakukan adalah hanya mengambil ubat antimikrob di bawah pengawasan doktor, mengambil ubat antimikrob seperti yang diarahkan pada label ubat (termasuk dos dan tempoh pengambilan ubat), menghabiskan ubat antimikrob mengikut tempoh yang ditetapkan pada label ubat, walaupun sudah merasa pulih, tidak berkongsi ubat antimikrob dengan orang lain dan mengurangkan risiko jangkitan secara menyeluruh.

Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) dalam perutusannya sempena Sambutan Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia 2020 yang membawa tema ‘Bersama dalam Memelihara Antimikrob’.

Beliau seterusnya menambah, mereka yang bekerja di sektor kesihatan juga mempunyai peranan signifikan kerana usaha dalam melawan rintangan antimikrob ini boleh ditingkatkan lagi dengan pemberigaan pengetahuan kesihatan sesama profesional kesihatan dan juga orang awam mengenai perbezaan jenis-jenis jangkitan dan bila ubat antimikrob boleh digunakan. Selain itu, langkah-langkah pencegahan jangkitan juga perlu diamalkan ketika merawat pesakit terutamanya pesakit yang telah dijangkiti kuman yang mempunyai rintangan kepada antimikrob (drug resis-tant microorganisms).

Pengawalan penggunaan antimikrob (antimicrobial stewardship) yang baik juga perlu diamalkan bagi mencegah penggunaan antimikrob tidak berhemah. Ini termasuk amalan preskripsi antibiotik yang baik seperti meneliti semula penggunaan antimikrob dan merujuk kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

Dengan bahaya penularan fenomena rintangan antimikrob AMR dan kemunculan penyakit-penyakit berjangkit lain, Yang Berhormat Dato menekankan, usaha yang konsisten, tabah dan bersatu daripada semua amatlah diperlukan untuk mengatasi masalah yang boleh mengancam keselamatan kesihatan negara kita.

MENTERI Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Md Isham bin Jaafar.