Bersama dukung usaha tangani COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Bermula esok, 7 September, para pengurus premis perniagaan dimestikan untuk memaparkan kod QR di tempat masuk premis masing-masing dan orang ramai juga dimestikan untuk mengimbas kod tersebut semasa masuk dan meninggalkan premis.

Keperluan memaparkan dan mengimbasnya mendapat sambutan yang positif daripada orang ramai dan pengurus premis.

Wartawan Media Permata berpeluang untuk menemu bual salah seorang pengguna aplikasi BruHealth, Dayang Norliah binti Haji Kassim mengenainya dan beliau menyambut baik langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan serta Kementerian Kesihatan mengenai perkara berkenaan.

Menurutnya, kita harus sama-sama menyokong usaha dilaksanakan untuk menangani penularan pandemik COVID-19 dan menerapkan amalan itu dalam diri terutamanya dalam normal baharu ini.

Dayang Norliah menyatakan lanjut bahawa beliau amat menghargai sebilangan besar premis di negara ini termasuk premis perniagaan dan juga pejabat yang menyediakan serta mempamerkan kod QR di ruang masuk premis masing-masing di mana ia memudahkannya untuk membuat pengimbasan.

Salah seorang pelanggan kelihatan mengimbas kod QR ketika memasuki sebuah premis restoran di ibu negara. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau turut menyatakan bahawa aplikasi BruHealth yang terdapat di telefon bimbitnya bukan sahaja bagi kegunaannya sahaja tetapi beliau turut mendaftarkan anak-anaknya pada aplikasi itu bagi memudahkannya untuk mengimbas kod apabila berkunjung ke premis-premis perniagaan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, pada 3 September lalu menyatakan bahawa orang ramai dikehendaki untuk menggunakan aplikasi BruHealth dan mengimbas kod QR setiap kali apabila masuk dan keluar dari premis-premis terutama sekali di tempat-tempat awam seperti gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai runcit, restoran-restoran, kedai kecantikan dan kedai gunting.

Dalam pada itu, bermula 7 September, pengurus-pengurus premis perniagaan dimestikan untuk memaparkan QR kod di tempat masuk masing-masing. Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil serius penggunaan aplikasi BruHealth terutama dalam mengimbas QR kod berkenaan kerana ia adalah penting dalam membantu Kementerian Kesihatan melaksanakan pengesanan kontak dengan segera, jika berlaku sebarang penularan jangkitan.

Yang Berhormat Dato juga menyatakan bahawa orang ramai juga dikehendaki untuk mengamalkan tanggungjawab sosial masing-masing dengan mengamalkan kebersihan diri, etika bersin yang betul, digalakkan memakai penutup hidung dan muka apabila berada di tempat-tempat awam yang penuh sesak dan jika merasa kurang sihat, tidak menghadirkan diri ke tempat-tempat awam dan majlis-majlis keramaian.

Orang ramai khususnya para jemaah yang menghadiri sembahyang fardu Jumaat sekali lagi diingatkan bahawa memakai penutup mulut dan hidung adalah dimestikan ketika berada di dalam kawasan masjid, sebelum dan selepas mendirikan sembahyang, di samping membawa tikar sejadah sendiri dan mengimbas kod QR apabila memasuki masjid atau surau.

“Sesiapa yang didapati melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang telah dikeluarkan semasa pandemik COVID-19 ini maka ia adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda kompaun sehingga $5,000 atau boleh didakwa ke mahkamah yang membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.”