Saturday, February 4, 2023
23.7 C
Brunei

-

Bersama hidupkan suasana kampung

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 17 Julai – Biarpun tinggal di kampung pedalaman, namun para belia harus mengambil peduli terhadap kampung dan mereka juga berperanan untuk menghidupkan suasana kampung dengan melakukan sesuatu kegiatan bersama belia-belia lain di kampung tersebut.

Selaku Timbalan Pengerusi Belia Da’in Islamiah di Kampung Bukit, Dayang Nur Nadhirah binti Saja, 17, yang pernah menerima hadiah Belia Cemerlang di Kampung Bukit baru-baru ini, menasihati agar belia-belia terutamanya yang tinggal di pedalaman mesti peka dan ambil peduli terhadap kesejahteraan kampung.

“Jangan biarkan kampung kita sunyi biarpun ia berada jauh dari bandar dan dianggap kampung yang terpencil,” jelas Dayang Nur Nadhirah lagi.

“Alhamdulillah, pada masa ini, dengan tertubuhnya Belia Masjid Kampung Bukit yang dinamakan sebagai Belia Da’in Islamiah pada bulan Mac 2017 ini, belia-belia di Kampung Bukit dapat mengadakan aktiviti bersama-sama orang kampung dan sering mengadakan kegiatan-kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan,” tambahnya.

Orang-orang kampung sentiasa memberikan sokongan kepada belia masjid berkenaan dengan menjemput para Belia Da’in Islamiah ke majlis-majlis keramaian seperti majlis berzikir dan majlis perkahwinan bagi memainkan hadrah dan seumpamanya.

Antara Belia Da’in Islamiah yang aktif mengikuti kegiatan kemasyarakatan dan keagamaan pada masa ini.
Antara Belia Da’in Islamiah yang aktif mengikuti kegiatan kemasyarakatan dan keagamaan pada masa ini.

Sebagai contoh, pada Majlis Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung Bukit dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah Tutong, belia-belia Da’in Islamiah turut dipanggil dengan mengadakan persembahan khas bagi memeriahkan lagi majlis dan seterusnya sama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Pada masa ini, Belia Da’in Islamiah mempunyai seramai 21 orang ahli yang terdiri daripada sembilan belia lelaki dan 11 orang Muslimah.

Dengan tertubuhnya Belia Da’in Islamiah ini, mereka telah banyak diundang untuk mengikuti pelbagai aktiviti seperti tausyeh, berdikir, hadrah dan seumpamanya.

Dayang Nur Nadhirah menyatakan harapan agar belia-belia yang tinggal di kampung pedalaman khususnya di Kampung Bukit akan dapat sama-sama mengikuti Kelab Belia Da’in Islamiah bagi memperkenalkan lagi Kampung Bukit dalam kalangan orang ramai di samping berpeluang untuk mendapatkan manfaat daripada kegiatan-kegiatan yang dijalankan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Bekas Menteri dijatuhi hukuman penjara 2 tahun

SEOUL, KOREA SELATAN, 3 FEB - Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada bekas Menteri Kehakiman, Cho Kuk, selepas dia...
- Advertisment -