Bersama jaga kebersihan pantai

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Julai – Dengan hasrat untuk melihat keadaan pantai lebih bersih dan selamat, sebuah keluarga yang melibatkan penyertaan lebih 10 orang telah membuat inisiatif melakukan aktiviti membersihkan tepian pantai kawasan W10 Jalan Maulana, di sini.

Menurut ketua aktiviti berkenaan, Hajah Siti Norain binti Haji Yusof yang ditemui Media Permata hari ini, melihat kepada keadaan yang agak kurang selamat dengan terdapatnya banyak sisa besi yang berkarat dan serpihan kaca terbuang di kawasan tepian pantai tersebut, beliau mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu dengan mengajak kalangan ahli keluarganya dan rakan-rakan untuk melakukan aktiviti membersihkannya.

Menurutnya, terdapat banyak sampah-sarap yang berserak di kawasan itu termasuk botol-botol plastik seperti sengaja di buang di tepian pantai.

Beliau memberitahu, semasa cuti awam yang lalu, beliau bersama anak-anak pergi ke kawasan pantai itu untuk mengutip beberapa batang kayu hanyut dan amat terkejut melihat keadaan botol-botol plastik yang berselerak dan membuat keputusan untuk melakukan sesuatu sebagai inisiatif demi keselamatan dan kebersihan alam sekitar terutama sekali kawasan pantai yang sering menjadi kunjungan masyarakat ramai untuk melakukan riadah dan bersenam.

“Kami beramai-ramai pergi ke kawasan pantai W10 pada 16 Julai lalu dan melakukan aktiviti mengutip sampah sejauh kira-kira lebih 300 meter dan telah mengumpul hampir 30 beg sampah,” katanya.

Hajah Siti Norain ketika mengetuai aktiviti membersihkan tepian pantai di kawasan W10 Jalan Maulana, Daerah Belait.
Turut ditemui semasa aktiviti tersebut ialah buangan bekas kain di kawasan tepian pantai tersebut.

Beliau menambah, mereka rasa gembira kerana dapat membantu mengurangkan kekotoran kawasan pantai itu dan kelihatan agak lebih baik daripada pada awalnya mereka ke sana.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka tidak mempunyai kelengkapan untuk membuang sampah-sarap seperti besi-besi yang berkarat dan kaca-kaca serta berharap aktiviti seperti itu akan dapat dilakukan lagi dalam masa terdekat dengan penglibatan lebih ramai masyarakat daripada pihak-pihak lainnya.

Hajah Siti Nurain turut melahirkan rasa kecewa terhadap sesetengah pihak yang membuang sampah-sarap seperti itu di kawasan pantai dan bukan membuangnya di kawasan yang telah ditetapkan seperti di tapak pembuangan.

Selain itu, menurut beliau inisiatif seperti ini pernah mereka lakukan tahun lalu dan bercadang untuk melakukan lebih kerap dengan mengajak lebih ramai orang lagi mengikuti aktiviti bermanfaat itu.

“Setelah mengongsikan gambar-gambar aktiviti itu ke dalam media sosial Facebook, banyak respons daripada orang ramai yang ingin menyertai aktiviti itu dan kami berharap usaha yang dilakukan ini akan dapat memberikan kesedaran betapa pentingnya kebersihan alam sekitar termasuklah kebersihan pantai,” ujarnya.