Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Kira-kira 30 orang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang telah menyertai Obesity Night-Walk dari lebuh raya berhadapan Pantai Tungku hingga ke Pantai Jerudong, malam tadi.
Aktiviti yang dianjurkan oleh Dayang Siti Rozidah binti Haji Abdullah itu antara lain memberikan kesedaran tentang pentingnya pengamalan cara hidup sihat.
“Idea ini datangnya apabila saya hendak mengadakan perjalanan itu bersendirian untuk suka-suka dan mengajak beberapa orang teman sahaja, tiba-tiba tanpa diduga penyertaan dari orang ramai sangat menggalakkan,” jelasnya.
Ditanya daripada segi keselamatan, katanya, beliau telah memaklumkan kepada pihak polis mengenainya dan pihak polis turut memberikan tip keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Dayan Siti Rozidah menjelaskan bahawa aktiviti tersebut juga mengambil kira keselamatan para peserta apabila mereka hanya mengenakan baju terang dan memakai lampu-lampu kecil bagi memudahkan para pemandu melihat mereka dengan lebih jelas.
Beliau turut menyatakan bahawa aktiviti tersebut adalah bagi mengisikan masa lapang hujung minggu dengan perkara yang berfaedah.
Katanya lagi, peserta-peserta yang menyertai aktiviti ini terdiri daripada warga obesiti namun terdapat sebilangan daripada mereka adalah dari individu yang memang aktif dalam aktiviti seumpamanya.
Dalam pada itu, beliau melahirkan harapan untuk mengadakan aktiviti yang sama lagi pada masa akan datang bagi memberi dorongan dan motivasi kepada mereka yang memerlukannya.
Beliau sebelum ini telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 25 kg dan masih mengejar sasaran penurunan barat badan ideal yang sesuai.
Perjalanan kira-kira empat kilometer itu bermula pukul 8 malam dan berakhir kira-kira pukul 9 malam.