Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Empat ekor kerbau telah dikorbankan pada Majlis Ibadah Korban Sekampung yang dikendalikan oleh Masjid Kampung Kilanas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi mengagihkan daging-daging korban kepada para peserta ibadah korban dan asnaf-asnaf serta para jemputan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Pada majlis tahunan masjid berkenaan, 27 orang fakir miskin dari Kampung Kilanas yang berdaftar di bawah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah menerima agihan daging korban.
Pegawai Hal Ehwal Masjid di Masjid Kampung Kilanas, Awang Mohd Redzuan bin Haji
Marzuki selaku pengerusi majlis dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa
ibadah korban tersebut bertujuan untuk melaksanakan perintah Allah SWT bagi mendekatkan diri kepadaNya melalui ibadah korban dan mengingati peristiwa bersejarah yang berlaku kepada Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
“Melaksanakan ibadah korban adalah sunah yang telah dilakukan oleh Rasulullah
SAW sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT,” tambah Awang Mohd Redzuan.
Di samping itu, majlis juga membantu dan memudahkan penduduk kampung untuk melaksanakan ibadah korban dengan lebih sempurna, menggalakkan masyarakat kampung untuk mengimarahkan masjid.
Ia sekali gus memupuk semangat kerjasama dan merapatkan silaturahim antara penduduk di Kampung Kilanas dan sekitarnya serta menyerlahkan fungsi masjid sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab bagi sama-sama menyemarakkan syiar Islam.