Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Kanak-kanak adalah aset paling berharga untuk mencapai kemajuan dan masa depan yang mampan serta berkualiti tinggi bagi sesebuah negara.
Mereka juga diharapkan menjadi masyarakat yang dapat menyumbang kepada pembangunan dan bakal mewarisi kepimpinan negara.
“Pihak kerajaan akan terus menyusun strategi, dasar dan program bagi kesejahteraan dan pembangunan kanak-kanak,” jelas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad hari ini dalam perutusannya sempena Hari Kanak-kanak Sedunia 2022.
Beliau turut menyeru ibu bapa, keluarga dan masyarakat memastikan kanak-kanak ini terus dilindungi.
Sehubungan itu, golongan ini seharusnya terus dipimpin untuk terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang.
“Dalam pada itu, mana-mana individu yang telah didapati bersalah melakukan jenayah terhadap kanak-kanak akan diberi hukuman yang setimpal selaras dengan undang-undang di Negara Brunei Darussalam tanpa mengira sesiapapun individu penjenayah tersebut,” tambahnya.
Negara Brunei Darussalam dan negara-negara Per-tubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyambut Hari Kanak-Kanak ini dengan tema ‘Masa Depan Yang Lebih Baik Untuk Setiap Kanak-Kanak’.
Seterusnya, Yang Berhormat Dato menyeru semua pihak untuk berganding bahu bagi merealisasikan masa depan yang terbaik bagi setiap kanak-kanak di negara ini.
“Semoga anak-anak kita sentiasa dikurniakan kesihatan akal fikiran dan tubuh badan, kemudahan di dalam segala urusan dan kejayaan dan kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat.”
Terdahulu beliau menyatakan bahawa, kira-kira 25 peratus daripada jumlah rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam adalah terdiri daripada orang muda dan kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun, menurut Kiraan Awal Jumlah Penduduk Tahun 2021 bagi Banci Penduduk dan Perumahan 2021.
Oleh itu, untuk memastikan kanak-kanak menjalani kehidupan yang selamat dan berkualiti, adalah penting bagi ekosistem perlindungan kanak-kanak menjadi lebih holistik dan mampu bertahan walaupun dunia menghadapi cabaran. Semua lapisan masyarakat mempunyai peranan penting untuk menjaga hak dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.
“Kita perlu sedar, menjamin masa depan yang terbaik bagi kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama tidak cukup untuk digalas oleh hanya ibu bapa sahaja yang mana perlindungan kanak-kanak ini bermula daripada keluarga, diikuti oleh masyarakat, institusi kerajaan dan bukan kerajaan dan secara senegara, sejajar dengan komitmen antarabangsa.
“Ke arah ini, usaha kebangsaan telah pun diaturkan melalui pelan tindakan senegara dan holistik, melalui Pelan Tindakan Kesejahteraan Kanak-kanak 2020-2024, di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial,” ujarnya.
Beliau berkata bahawa selain daripada inisiatif dalam pelan tindakan itu, pihaknya juga menghargai bantuan dan sokongan daripada pelbagai agensi bukan kerajaan yang sama-sama berganding bahu melaksanakan program-program yang berkebajikan untuk kanak-kanak.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa COVID-19 tidak kurang memberikan kesan kepada usaha itu, namun beberapa hikmah turut dirasai daripadanya, termasuklah perpaduan masyarakat dan sukarelawan yang sangat dirasai dan menggalakkan.
“Selain itu, perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan melalui dalam talian (online) telah memberikan kesedaran peranan teknologi dalam memberikan kemudahan kepada masyarakat,” ujarnya.
Menurut beliau, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah merancang beberapa acara bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia dengan kerjasama pelbagai rakan, seperti Jabatan Sekolah-sekolah, Jabatan Pendidikan Swasta dan Jabatan Pendidikan Khas, Jabatan Pengajian Islam, Institut Tahfiz Al-Quran SHHB, Majlis Belia Brunei (MBB), Majlis Kebangsaan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Projek Women Brunei, MyActionSDGS dan AITI/BruCert.
“Insya-Allah, apa yang dihasratkan adalah bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk kemahiran hidup yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk masa hadapan dan memberi pengenalan mengenai Konvokesyen Hak Kanak-Kanak, serta memberikan platform kepada kanak-kanak untuk mengongsi pendapat-pendapat dan idea-idea mereka,” jelasnya.