Bersama membanteras penyakit demam denggi

Oleh Nurdiyanah R.

Ketika dunia sibuk dengan isu penyakit koronavirus COVID-19, penyakit demam denggi bawaan nyamuk Aedes yang dijangkiti virus denggi juga meningkat seiring dengan COVID-19.

Baru-baru ini, Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 43 kes demam denggi yang telah dilaporkan dan satu kematian dikaitkan dengan demam denggi berdarah setakat 25 Julai, menurut Kementerian Kesihatan. Namun jumlah kes mengalami sedikit penurunan berbanding sebanyak 69 kes dilaporkan pada tahun 2019 dalam tempoh yang sama.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa buah negara jiran dilaporkan sedang mengalami peningkatan jumlah kes demam denggi pada ketika ini, menurut kenyataan itu lagi, dengan nyamuk Aedes menyebarkan penyakit demam denggi di kebanyakan kawasan negara berkenaan.

Penyakit bawaan nyamuk Aedes

Penyakit demam denggi ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh nyamuk Aedes yang dijangkiti virus denggi. Ia merebak melalui gigitan nyamuk tersebut. Penyakit ini amat berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan seseorang itu menjadi sakit tenat malah membawa maut. Secara lazimnya pesakit akan mengalami tanda-tanda penyakit demam denggi selepas tiga hingga 14 hari gigitan nyamuk. Simptom yang dialami selama dua hingga tujuh hari termasuk demam panas secara mengejut dan berterusan, sakit sendi, sakit tulang belakang, loya dan lemah badan.

Kadangkala jangkitan virus denggi berpotensi menyebabkan tanda-tanda yang lebih teruk termasuklah pendarahan dan kematian. Ini dikenali sebagai Dengue Haemorrhagic Fever (DHF).

Secara umumnya, terdapat empat jenis serotip virus denggi yang telah dikenalpasti (DEN 1, 2, 3 dan 4). Ia berlaku apabila seseorang yang dijangkiti oleh salah satu jenis serotip virus denggi dan seterusnya dijangkiti oleh jenis serotype yang lain, maka hal itulah yang akan meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat DHF.

Bukan hanya setakat mewujudkan kesedaran semata-mata bahkan apa yang penting adalah kita menjadi masyarakat yang berperanan aktif dalam membanteras penyakit demam denggi secara lebih efektif dari semasa ke semasa. – Gambar fail oleh Daniel Lim
ATAS & BAWAH : Meskipun kes demam denggi di negara ini berada dalam situasi yang terkawal, pendidikan secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat adalah kunci utama dalam sama-sama memerangi wabak demam denggi ini. – Sumber dari laman sesawang Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam

Kenal pasti tempat-tempat pembiakan

Setakat ini masih belum ada rawatan khusus untuk penyakit demam denggi dan langkah terbaik hanyalah melalui pencegahan. Dalam hal ini, memastikan tiada tempat untuk nyamuk membiak merupakan perkara yang paling mustahak untuk kita semua lakukan bagi mengelaknya daripada merebak.

Di Negara Brunei Darussalam, kebiasaan nyamuk Aedes mudah membiak di dalam takungan air sama ada di dalam atau luar rumah seperti di pasu-pasu bunga, longkang-longkang yang tersumbat dan botol-botol plastik serta bekas-bekas tayar yang digunakan sebagai gubahan landskap. Begitu juga di dalam tempat-tempat takungan air yang tidak tertutup rapat seperti tangki air, baldi, tajau dan sebagainya serta sampah-sarap yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong, bekas-bekas tayar yang terbiar, botol-botol kosong serta bekas kotak makanan.

Mencegah lebih baik daripada mengubati

Meskipun kes demam denggi di negara ini berada dalam situasi yang terka-wal, adalah bagus sekiranya kita semua menyemai sikap ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’ dalam kehidupan seharian. Sememangnya pendidikan secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat adalah kunci utama dalam sama-sama memerangi wabak demam denggi ini.

Langkah-langkah pencegahan perlulah diutamakan, antaranya memastikan kita sentiasa menjaga kebersihan persekitaran rumah dan bangunan masing-masing. Begitu juga memastikan membuang takungan air dan membuang sampah-sarap secara kerap dan teratur terutamanya yang boleh menakung air serta menjadi punca pembiakan nyamuk Aedes, mencuci bekas-bekas tersebut dengan bersih untuk memusnahkan sisa-sisa telur nyamuk. Hal ini kerana telur-telur nyamuk boleh bertahan di tempat yang kering selama enam bulan dan sebaik saja telur-telur tersebut terdedah kepada air, telur-telur nyamuk boleh menetas dalam masa tujuh hari. Pasu bunga, bekas air dan sebarang bekas yang menakung air hendaklah ditukar air dengan kerap.

Selain menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, langkah lain termasuk menggunakan ubat penyembur atau penghalau nyamuk serta memastikan tingkap rumah sentiasa bertutup.

Langkah berterusan Kementerian Kesihatan

Seperti yang kita semua ketahui, setakat ini rawatan demam denggi lebih tertumpu kepada rawatan sokongan untuk melegakan tanda-tanda jangkitan dan pemantauan rapi di hospital, jika diperlukan.

Sehubungan dengan itu, menurut Kementerian Kesihatan, bagi setiap kes penyakit bawaan nyamuk yang dilaporkan, beberapa langkah-langkah berikut akan dilaksanakan iaitu pengesanan kontak (contact tracing) iaitu pemeriksaan orang-orang terdekat kepada kes untuk memastikan tidak ada orang lain yang mempunyai tanda-tanda penyakit serupa. Ujian juga dilakukan kepada mana-mana orang terdekat yang didapati mempunyai tanda-tanda penyakit.

Selain itu, langkah entomological surveillance iaitu pemeriksaan entomologi di persekitaran kawasan rumah dan kawasan-kawasan yang sering dikunjungi oleh penghidap penyakit bagi memastikan jenis vektor yang mungkin berada di kawasan tersebut dapat dikawal dan sekali gus dihapuskan dari semasa ke semasa. Begitu juga vector control activities iaitu pengawalan vektor melalui penggunaan bahan-bahan racun serangga bagi memusnahkan nyamuk dewasa dan jentik-jentik akan dijalankan.

Dalam pada itu, pemantauan dan pengawalan serangga juga dilakukan secara rutin, terutamanya di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti sebagai titik panas tempat-tempat pembiakan dan kelompok kes. Namun perlu diketahui bahawa penyemburan racun serangga hanyalah kaedah alternatif yang bersifat sementara. Oleh itu, untuk pengawalan jangka panjang yang lebih berkesan, penjagaan persekitaran yang bersih dan bebas dari tempat menjadi punca pembiakan nyamuk adalah lebih utama.

Oleh yang demikian, semua pihak perlu bekerjasama membantu pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam menangani penyakit demam denggi ini. Bukan hanya setakat mewujudkan kesedaran semata-mata bahkan apa yang penting adalah bersama-sama kita menjadi masyarakat yang berperanan aktif dalam membanteras penyakit ini secara lebih efektif dan efisien dari semasa ke semasa seperti menerusi kempen bergotong-royong di samping memanfaatkan teknologi digital melalui persembahan drama, pembikinan video pendek dan kesedaran tentang bahaya penyakit demam denggi. Kesemua itu dilakukan dengan matlamat untuk menyebarkan maklumat mengenai penyakit tersebut serta langkah-langkah pencegahannya.