Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Pada 2022, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) yang mewakili sektor alam sekitar telah menyertai sektor manusia, haiwan dan tumbuhan yang diwakili oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) masing-masing, untuk membentuk pakatan quadripartite dalam meneruskan pendekatan One Health.
Ini bukan sahaja bagi menangani kerintangan antimikrob, tetapi dengan matlamat yang lebih holistik iaitu untuk mengimbangi dan mengoptimumkan kesihatan manusia, haiwan, ekosistem dan persekitaran yang lebih luas secara mampan.
Negara Brunei Darussalam menyahut seruan sejagat untuk bertindak bagi menangani kerintangan antimikrob dengan pembentukan Jawatankuasa Antimicrobial Resistance Brunei Darussalam (BDAMRC) pada 2018.
Jawatankuasa dengan pihak berkepentingan pelbagai sektor yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) terdiri daripada Kumpulan Kerja Teknikal itu sejajar dengan Pelan Tindakan Sejagat (GAP) WHO terhadap kerintangan antimikrob.
Negara pada 2019 telah melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan BDAMRC terhadap kerintangan antimikrob di mana ia menggariskan insiatif strategik utama yang diperlukan untuk memahami dan mengurus faktor risiko yang berkaitan dengan kerintangan antimikrob serta untuk membimbing keputusan dasar yang akan menyokong kepada pengurangan kesannya terhadap Brunei merentas sektor yang berkaitan.

“Pada tahun ini, BDAMRC telah meraih langkah yang penting dan bermakna, di mana Kementerian Pembangunan telah secara rasmi menyertai BDAMRC selaku pelengkap penuh pihak berkepentingan bagi jawatankuasa ini.”
Perkara itu dinyatakan dalam perutusan bersama Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid sempena Sambutan Minggu Kesedaran Rintangan Antimikrob Sedunia 2023.
Sambutan Minggu Kesedaran Rintangan Antimikrob Sedunia yang disambut setiap November adalah kempen kesedaran sejagat utama untuk menangani kerintangan antimikrob.
Selaras dengan tema sambutan iaitu Bersama dalam Mencegah Rintangan Antimikrob dan pendekatan One Health, Kementerian Kesihatan dan KSSUP telah menganjurkan pelbagai aktiviti bersama melalui BDAMRC di tahap skala yang menggalakkan daripada tahun-tahun sebelumnya.
Ia termasuk penyertaan Kementerian Kesihatan dalam Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan ke-13 anjuran KSSUP pada 4 November lalu, webinar bersama yang dibukakan kepada orang ramai, pelantikan Juara AMR dari Kementerian Kesihatan dan KSSUP serta kempen media sosial dan penampilan media massa oleh kedua-dua kementerian.
Di peringkat komuniti, orang ramai dan mereka yang terlibat dalam mana-mana kapasiti dalam sektor yang berkaitan di negara ini, boleh memainkan peranan mereka dalam memerangi kerintangan antimikrob melalui beberapa cara.
Antara cara-cara berkenaan adalah sebarang rawatan antimikrob yang diambil, untuk manusia atau haiwan, masing-masing hendaklah di bawah pengawasan doktor atau doktor haiwan, dan mengikut arahan yang diberikan, elakkan menggunakan ubat antimikrob apabila tiada jangkitan, apabila ragu-ragu tentang rawatan jangkitan dan untuk bertanya soalan mengenainya.
Mereka juga perlu mengambil peranan aktif dalam kawalan dan pencegahan jangkitan dalam kedua-dua sektor kesihatan manusia dan haiwan termasuk mengelakkan atau hadkan keluar jika awda mempunyai simptom seperti selesema, mengamalkan kebersihan tangan yang kerap, memastikan kebersihan adalah keutamaan untuk penyediaan dan pengambilan makanan dan air, mendapatkan vaksinasi secara teratur bagi jangkitan tertentu, mengikut keadaan kesihatan masing-masing serta mematuhi amalan terbaik untuk mengawal dan mencegah jangkitan dalam kesihatan manusia dan haiwan.
Kerintangan antimikrob adalah ancaman kesihatan dan pembangunan sejagat yang kompleks dan kritikal. Tindak balas pelbagai sektor yang tepat pada masanya, berterusan, dengan cara kolaboratif dan selaras adalah penting dan Negara Brunei Darussalam telah menyahut cabaran itu dengan menunjukkan komitmen peringkat tinggi dan melalui pendekatan One Health.
“Marilah kita sama-sama memikul tanggungjawab ini dalam melaksanakan peranan masing-masing untuk memelihara keberkesanan antimikrob kita sebagai satu langkah besar ke arah menjamin masa depan yang sihat dan mampan untuk kita semua,” tambahnya.