Friday, December 1, 2023
29.6 C
Brunei

    -

    Bersama menggembleng tenaga tangani isu penduduk menua

    Oleh Sim Y.H. –

    Negara Brunei Darussalam serupa dengan kebanyakan negara lain, sedang mengalami kesan penduduk menua di mana 10.1 peratus penduduk keseluruhan negara berusia 60 tahun dan ke atas yang menunjukkan bahawa negara telah memasuki fasa penduduk menua.

    Menjelang 2050, jumlah berkenaan dijangka akan meningkat kepada 28.7 peratus.

    Perangkaan itu didedahkan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dalam ucaptama bertajuk Inisiatif Kebangsaan Brunei Darussalam mengenai Penuaan dan Kepentingan Ekonomi Penjagaan semasa Persidangan Rantau Asia Pasifik Alzheimer’s Disease International yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, baru-baru ini.

    PENGLIBATAN SEMUA PIHAK

    Penuaan atau kesejahteraan warga tua di negara ini merupakan salah satu daripada 12 isu penting yang dipantau oleh Majlis Kebangsaan Isu Sosial di mana majlis peringkat kementerian berkenaan merupakan sebuah platform senegara yang dipengerusikan oleh KKBS yang mana ahli-ahli bukan sahaja terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan tetapi juga daripada organisasi bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

    Hajah Nor Ashikin menerangkan bahawa pada 2017, majlis kebangsaan telah melaksanakan Pelan Tindakan bagi Warga Emas selama lima tahun dengan tiga matlamat utama yang menumpukan kepada pembangunan, kesejahteraan sosial dan perlindungan mereka serta untuk mempunyai sistem sokongan mesra warga emas.

    Hajah Nor Ashikin semasa membentangkan ucaptamanya. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Antara tetamu yang hadir ke persidangan berkenaan di ICC, Berakas, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Gambar Envato Elements

    Dalam hubungan itu, beliau menyatakan bahawa hampir 38 peratus aktiviti dalam pelan tindakan berkenaan bagi tempoh sehingga 2021 telah dilaksanakan dan sedang berjalan di mana inisiatif-inisiatif berkenaan adalah langkah-langkah perlindungan sosial, aktiviti dan program mempromosikan gaya hidup aktif dan pembelajaran berpanjangan.

    Ia termasuk penubuhan Pusat Kegiatan Warga Emas di keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam di mana pusat itu mempromosikan penglibatan aktif warga emas dan menyediakan laluan bagi gaya hidup sihat yang membantu mencegah penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti demensia.

    Manakala, bagi mereka yang terdedah atau terlantar di atas katil, pihak kementerian dengan kerjasama beberapa buah badan NGO telah menubuhkan Projek Memeduli Warga Emas yang menyediakan sokongan langsung kepada penyedia penjagaan yang bertanggungjawab kepada kesejahteraan individu warga emas.

    Memandang ke hadapan dan dalam usaha untuk melindungi lagi kesejahteraan dan kesihatan penduduk warga emas, Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Warga Emas yang baharu sedang dirangka bersama oleh Kementerian Kesihatan dan KKBS.

    Pelan baharu itu menekankan sebuah pendekatan strategik bagi penuaan berjaya, yang melihat kepada konsep holistik bagi menaikkan fungsi sosial, psikologi dan fizikal warga emas serta meletakkan keutamaan yang sama kepada penuaan sihat, aktif dan produktif.

    KEPENTINGAN INSTITUSI KEKELUARGAAN

    Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang mempunyai nilai-nilai keluarga yang kukuh dan mengenali pentingnya bagi institusi kekeluargaan untuk mengambil peranan utama dalam penjagaan bagi warga emas supaya memastikan bahawa mereka akan terus dijaga dan tidak ditinggalkan.

    Sebagai sebuah unit asas masyarakat, peranan yang dimainkan oleh sebuah institusi keluarga yang harmoni dan kukuh adalah amat mustahak serta selaras dengan Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk mencapai kualiti kehidupan yang tinggi.

    Dalam hubungan itu, institusi keluarga dilihat sebagai sistem sokongan penjagaan primer bagi individu khususnya bagi mereka yang terdedah.

    RANGKA KERJA KOMPREHENSIF

    Negara Brunei Darussalam terus berusaha untuk membangunkan respons dasar khususnya di peringkat serantau bagi isu-isu berkaitan dengan penuaan serta cabaran-cabaran yang berkaitan.

    Dalam hubungan itu, Negara Brunei Darussalam semasa menjadi Pengerusi ASEAN pada 2021, menerajui usaha bagi sokongan pemimpin-pemimpin ASEAN kepada Rangka Kerja Komprehensif ASEAN bagi Ekonomi Penjagaan.

    Hajah Nor Ashikin menyatakan usaha itu hadir pada masa yang luar biasa, ketika seluruh dunia masih bergelut dengan kesan gangguan pandemik COVID-19.

    “Kami merasakan adalah penting bagi ASEAN sebagai sebuah komuniti, untuk terus peka dan fokus kepada ekonomi penjagaan, terutamanya apabila tindakan kolektif amat diperlukan sekarang berbanding pada masa dahulu,” tambahnya.

    Sebelum berlakunya pandemik itu, jelasnya, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah meramalkan pada 2018, bahawa jumlah penerima penjagaan dijangka akan mencapai 2.3 bilion menjelang 2030.

    Menerusi rangka kerja itu, kita berharap untuk menggalakkan amalan terbaik, platform serta skop latihan yang melihat ke dalam modaliti atau pelaburan relevan bagi menangani isu-isu ekonomi penjagaan dengan lebih baik, menajamkan fokus kepada keadaan semasa dasar-dasar global dan serantau serta untuk mengenal pasti jurang dalam pelbagai aspek berbeza ekonomi penjagaan.

    Hajah Nor Ashikin dalam pembentangannya mengetengahkan dua keutamaan strategik dalam rangka kerja berkenaan iaitu membina keluarga kukuh dan berdaya tahan sebagai tonggak ekonomi penjagaan; dan meningkatkan perlindungan sosial supaya tiada siapa yang ketinggalan di belakang.

    Dalam hubungan itu, perhatian diberikan kepada jenis kerja penjagaan, berbayar iaitu formal dan tidak berbayar iaitu informal serta bebanan kerja penjagaan tidak berbayar kepada keluarga.

    Perkara itu amat signifikan di Brunei Darussalam di mana seperti yang diketengahkan, penyokong institusi keluarga yang kukuh merupakan penyedia penjagaan primer bagi ahli-ahli yang terdedah.

    KESAKSAMAAN DAN KEMAMPANAN EKONOMI PENJAGAAN

    Seperti yang dimaklumi, demensia menjejaskan jutaan orang di seluruh dunia di mana ia bukan sahaja memberikan kesan kepada individu tetapi juga menjejaskan keluarga dan penjaga.

    Impaknya kepada ekonomi global adalah amat signifikan dengan berbilion-bilion dolar dibelanjakan bagi penjagaan kesihatan, penyelidikan dan perkhidmatan sokongan.

    Penduduk yang semakin menua juga meningkat dengan pantas dan peralihan demografi berkenaan mempunyai implikasi yang signifikan kepada kita semua, tambah Hajah Nor Ashikin.

    Ekonomi penjagaan merupakan bahagian mustahak ekonomi dan adalah amat penting untuk memastikan bahawa ia saksama dan mampan. Walaupun penggubal dasar akan terus memajukan dan mengukuhkan lagi strategi-strategi dalam penjagaan bagi warga emas, penjaga yang memainkan peranan penting dalam menyokong warga tua yang mempunyai demensia. Maka, adalah penting untuk mengiktiraf sumbangan mereka.

    Pelaburan dalam penyelidikan untuk mencari penawar serta usaha bagi meningkatkan lagi tindakan pencegahan adalah amat penting, di mana ia bukan sahaja akan meningkatkan kualiti kehidupan untuk mereka yang hidup dengan penyakit itu tetapi ia juga akan mengurangkan bebanan ekonomi kepada keluarga dan masyarakat dalam jangka panjang.

    “Oleh itu, penuaan dan ekonomi penjagaan adalah isu kritikal yang memerlukan perhatian kita. Kita perlu bekerjasama untuk mencari penyelesaian yang mempromosikan keselamatan, autonomi, kesejahteraan dan martabat warga emas yang mempunyai demensia,” tekannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Semakin ramai pelajar Korea mahu jadi doktor kerana gaji tinggi

    SEOUL, 1 DIS - Pendapatan tinggi telah menjadi sebab utama pelajar sekolah rendah dan menengah di Korea Selatan memilih menjadi doktor perubatan sebagai laluan...