Bersama menyelenggara Solat Jumaat

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

Pada minggu kedua masjid-masjid utama dibuka semula bagi solat Jumaat, baru-baru ini, beberapa pembaikan telah dilakukan yang membuatkan kemasukan ke masjid semakin lancar dan lebih tersusun dengan tenang, malah ada juga yang mengambil peluang beramal.

Ahli jawatankuasa di salah sebuah masjid, Haji Zakaria ketika ditemu bual berkata, apa yang mengharukan adalah apabila ada orang berada di luar masjid yang mengambil kesempatan bersedekah penutup mulut dan hidung dan sejadah untuk para jemaah yang terlupa membawa sendiri dari rumah.

Malah ada juga yang bersedekah makanan dan minuman bungkus untuk para Petugas Masjid dan Sukarelawan.

Mengulas mengenai keadaan mengenai kali kedua solat Jumaat diadakan semula, beliau berkata, beliau sendiri selaku ahli jawatankuasa sukarelawan yang diberikan tanggungjawab bersama bagi penyelenggaraan merasakan syukur kerana bukan hanya sekadar menjadi kalangan jemaah, malah juga selaku orang yang membantu bersama dalam pemedulian dan penyelenggaraan masjid dan jemaah.

Beliau membantu dalam memberi tunjuk arah saf yang kosong dan juga dalam memastikan para jemaah yang hadir menggunakan penutup mulut dan hidung serta membawa sejadah sendiri.

Di satu sudut pula kelihatan ketekunan dan kecekapan para pengawal dan pegawai keselamatan daripada agensi kerajaan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berpakaian seragam membantu dalam pengimbasan kod QR dan juga menyelenggarakan kawalan lalu lintas serta tempat letak kereta para jemaah.

Beliau turut mengongsikan bahawa ada juga didapati sebilangan jemaah yang sudah menggunakan penutup mulut dan hidung semasa hadir, membukanya sama ada sebelum mendirikan solat atau pun sehingga selesai solat berjemaah.

“Perkara ini wajar juga diberi perhatian dan tekanan bagi kesinambungan peraturan yang dikuatkuasakan,” tegasnya.

Manakala itu, seorang kakitangan salah sebuah Masjid iaitu Awang Muhammad Shahrum pula melahirkan rasa teruja dengan kehadiran para jemaah untuk menunaikan solat fardu Jumaat di masjid di mana para belia dan warga emas juga ramai yang hadir mengimarahkan solat berjemaah bersama.

Keadaan masjid agak renggang oleh penjarakan sosial yang diterapkan di setiap masjid bagi menunaikan Sembahyang Jumaat.
Pengambilan suhu badan jemaah bagi memastikan mereka sihat untuk menunaikan solat Jumaat.