Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Tarikh 14 Oktober ini bakal menyaksikan satu lagi mercu tanda kemajuan negara dirasmikan, diisikan dengan acara-acara menarik dan penuh gilang-gemilang bagi memeriahkan peristiwa bersejarah tersebut.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja yang lain dijangka berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Jambatan Sungai Kebun, Perarakan Kapal-kapal dan Perahu-perahu Berhias serta Pertunjukan Bunga Api di kawasan berhadapan Tarindak D’Seni, Jalan Residency, Bandar Seri Begawan, pada hari tersebut.
Majlis perasmian tersebut merupakan antara siri rancangan majlis sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama memeriahkan acara tersebut dengan tempat menyaksikan perasmian dan perarakan kapal-kapal dan perahu-perahu berhias serta pertunjukan bunga api dari beberapa kawasan di sepanjang tebing Sungai Brunei seperti promenade di sepanjang Jalan Residency, kawasan Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan dan Taman Eko Koridor.
Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-acara Daerah dan Jawatankuasa Sektoral Perasmian dan Peringatan Kenang-kenangan Sambutan Jubli Emas, dalam sidang media mengenai majlis perasmian tersebut yang diadakan di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan hari ini.
Hadir pada sidang media itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Bersama, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof yang turut menyampaikan kata-kata aluan; Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metusin serta ahli-ahli Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-acara Daerah dan Mukim dan Jawatankuasa Sektoral Perasmian dan Peringatan Kenang-Kenangan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Menyentuh mengenai perarakan kapal-kapal dan perahu berhias, Dr. Haji Abdul Manaf memaklumkan bahawa ia akan bermula dari Kampung Tamoi hinggalah Jambatan Sungai Kebun.
Manakala Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil pula mengongsi persembahan kebudayaan berbentuk nyanyian yang akan diadakan ketika perarakan kapal-kapal dan perahu-perahu berhias.
Pada hari tersebut, isu keselamatan turut ditekankan oleh Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia dan SHENA), Jabatan Perdana Menteri, Haji Kamaludin bin Haji Bongsu selaku timbalan pengerusi bersama jawatankuasa tersebut, yang mengingatkan orang ramai agar tidak menghampiri tapak pelancaran pertunjukan bunga api bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku.
Menurut beliau, tahap keselamatan juga dimantapkan lagi dengan aset petindak kecemasan, perubatan dan keselamatan dengan lebih 350 petugas, 10 buah jentera dan tujuh buah bot kecemasan manakala Emergency Medical Ambulance Services (EMAS) menempatkan sejumlah 85 petugas, tiga buah ambulans dan sebuah bot di tempat-tempat strategik dan berisiko tinggi bagi menangani sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan semasa acara berlangsung.
Beliau turut menyeru orang ramai agar mengambil langkah berhati-hati dan berwaspada terutamanya pengguna jalan raya dan pengguna perahu tambang pada malam tersebut. Mereka diharap dapat mematuhi peraturan-peraturan yang sedia ada khususnya pengguna perahu tambang yang perlu memakai jaket keselamatan.
Menurutnya lagi, bagi menyemarakkan lagi kemeriahan, beberapa kemudahan disediakan seperti gerai-gerai jualan dan permainan bouncer bagi kanak-kanak, tong-tong sampah disediakan di tempat khas bagi memastikan kebersihan dijaga sekali gus menjadikan Brunei bersih dan hijau.
Sidang media tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab.
Jambatan Sungai Kebun ke Jalan Residency yang baru siap itu bukan sahaja memudah dan memendekkan waktu perjalanan penduduk kawasan Sungai Kebun ke Bandar Seri Begawan tetapi juga akan mengurangkan jumlah kenderaan yang akan melalui kawasan-kawasan seperti Lumapas, Mulaut dan Bengkurong Masin khususnya semasa waktu pagi dan petang.
Dianggarkan kira-kira 9,000 kenderaan akan melalui jambatan itu setiap hari sekali gus diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Jalan Tutong. Jambatan berukuran setinggi 157 meter dengan sebuah pylon dibina untuk menanai sepanjang 505 meter box girder melalui sejumlah 60 kabel dan menyeberangi Sungai Brunei selebar 30 meter.
Projek pembinaannya bermula semenjak Julai 2013 dan menelan belanja sebanyak $138.9 juta di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10.