Bersama meringankan bebanan masyarakat

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar oleh Muiz Matdani

Di saat seluruh pelosok dunia digoncangkan dengan musibah penularan pandemik koronavirus (COVID-19), pastinya apa yang menjadi harapan besar setiap negara adalah menanai tanggungjawab dalam sama-sama berganding bahu menangani wabak ini daripada semakin berleluasa.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa krisis ini juga telah menyebabkan ekonomi negara kita khususnya turut terkesan termasuklah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Bersama membantu meringankan bebanan perekonomian ibu-ibu tunggal di negara ini dalam menyara kehidupan mereka sehari-hari, itulah matlamat utama kami, lebih-lebih lagi ketika kita sama-sama terkesan dengan impak musibah penularan pandemik ini,” kata Dayang Erna Hamidon selaku Pengurus Besar, Roze Rohaya Employment Agency dengan nada penuh ketulusan semasa ditemui Media Permata, baru-baru ini, yang kini semakin giat melaksanakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi syarikat berkenaan.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

Melalui program CSR ini, Dayang Erna menjelaskan bahawa dengan ada-nya sumbangan derma berbentuk kewangan yang pada umumnya daripada para pegawai dan kakitangan syarikat serta sebahagian klien yang berdaftar di syarikat berkenaan digunakan untuk membeli produk atau barangan makanan dan minuman ‘homemade’ yang diusahakan oleh ibu-ibu tunggal yang telah terpilih setelah dijalankan beberapa temuduga.

Walau bagaimanapun temuduga berkenaan juga dijalankan secara dalam talian demi mengamalkan penjarakan sosial.

Sebahagian kakitangan Roze Rohaya Employment Agency semasa mengagih-agihkan sumbangan hasil pembelian makanan dan minuman ‘homemade’ daripada pengusaha ibu-ibu tunggal yang telah terpilih kepada insan-insan yang menanai amanah bertugas sebagai kontraktor bangunan.
Dayang Erna semasa ditemui Media Permata, baru-baru ini.
Roze Rohaya Employment Agency membuat pembelian makanan ‘homemade’ dari salah seorang ibu tunggal yang terpilih hasil daripada sumbangan derma yang dikumpul yang kemudian akan disumbangkan kepada para petugas barisan hadapan serta kakitangan hospital termasuklah para sukarelawan dan juga insan-insan yang terlibat menangani situasi COVID-19 di negara ini – Gambar serahan Roze Rohaya Employment Agency
ATAS & BAWAH : Dalam membantu meringankan bebanan perekonomian ibu-ibu tunggal di negara ini yang terkesan dengan impak penularan pandemik ini, agensi pekerjaan itu melancarkan program tanggungjawab sosial melalui pemilihan ibu-ibu tunggal yang perlu dibantu dengan temu duga dalam talian.

Jelasnya lagi, pembelian makanan dan minuman ‘homemade’ itu kemudian akan disumbangkan kepada para tugasan barisan hadapan serta kakitangan hospital termasuklah para sukarelawan yang pada masa ini penuh tekun, dan dedikasi, berkorban serta bertungkus lumus untuk memberikan khidmat dalam membantu menangani situasi COVID-19 di negara ini.

Tidak dilupakan juga insan-insan yang menanai amanah bertugas sebagai kontraktor bangunan khususnya dalam mendirikan tambahan kemudahan untuk pusat kesihatan di negara ini.

“Bersyukur dengan adanya program CSR sebegini, di mana kita dapat menerapkan nilai-nilai semangat bak kata peribahasa Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa untuk membantu satu sama lain dan juga sekali gus menabur bakti dan ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada mereka semua yang terlibat ketika negara kita berhadapan dengan wabak ini,” tambahnya lagi.

Misi CSR berterusan

Sehubungan dengan itu, Dayang Erna turut mengungkapkan bahawa dengan adanya program CSR yang dijalankan ini, ia bagaikan pencetus semangat juang syarikat mereka untuk meneruskan misi bantuan perkhidmatan sebegini secara berterusan pada masa akan datang.

“Bukan hanya tertumpu kepada memberi bantuan dalam kalangan pengusaha ibu-ibu tunggal di negara ini semasa berlakunya krisis pandemik ini sahaja, malah adalah menjadi harapan dan perancangan kami untuk turut melibatkan golongan yang kurang bernasib baik suatu hari nanti, lebih-lebih lagi dalam sama-sama mengetengahkan hasil produk atau barangan serta kemahiran mereka di mata masyarakat di negara ini dan sekali gus membantu mereka mencari sebarang pekerjaan,” ujarnya dengan penuh harapan besar semasa mengakhiri sesi temubual bersama penulis, baru-baru ini.