Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Bersama peduli golongan asnaf

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Sempena ulang tahunnya yang ke-55 tahun, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Program Bersama Memeduli (al-ihtimam ma’an), kelmarin.

    Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.

    Pada program berkenaan, pengagihan barang-barang keperluan asasi hasil sumbangan orang ramai di sekitar Daerah Belait dan warga Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait serta keluarga telah dilaksanakan.

    Sumbangan berkenaan telah diagihkan kepada golongan asnaf (fakir miskin dan mualaf) terpilih, secara pandu lalu di pejabat berkenaan yang bermula 9 pagi.

    Pengagihan seterusnya akan diadakan esok dengan menghantar sumbangan ke rumah-rumah penerima yang terpilih yang akan disampaikan oleh ketua pegawai agama bersama warga Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait.

    Haji Amirol Hafidzin semasa mengagihkan sumbangan secara pandu lalu.
    Wakil dari Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait semasa menyampaikan ucapan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, program berkenaan adalah kesinambungan daripada program sebelum ini iaitu aktiviti penerimaan sumbangan barang-barang keperluan asasi yang telah diadakan pada 11 dan 18 Mac lalu.

    Ia adalah sebagai satu platform yang berkebajikan dalam sama-sama memeduli dan mendekati masyarakat sekitar Daerah Belait dan seterusnya mengeratkan lagi hubungan ukhuwah dan kerja berpasukan antara warga pejabat.

    Di samping itu, ia juga bertujuan bagi memupuk sifat prihatin terhadap ahli masyarakat yang memerlukan dan juga memupuk sifat suka berinfak.

    Antara objektif mengadakan program itu ialah sebagai salah satu usaha amal kebajikan warga Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait melalui aktiviti pemberian sumbangan kepada golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan terdiri daripada warga emas, golongan berkelainan upaya dan golongan yang kurang berkemampuan sekitar Daerah Belait untuk dimanfaatkan sebagai persediaan juadah mereka berbuka puasa berbentuk pek catuan makanan asasi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...