Bersama perangi jenayah hidupan liar

KOTA KINABALU, 21 JULAI – Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah berhasrat untuk meluaskan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke arah mewujudkan Pelan Antirasuah Organisasi.

Pengarahnya, Augustine Tuuga berkata JHL perlu bekerjasama dengan semua rakan kongsi yang berpotensi untuk membina persefahaman dan memastikan agensi hidupan liar, perhutanan dan perikanan dilatih dan bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang isu rasuah.

“Kita harus sedar bahawa rasuah merangkumi pelbagai aspek dan boleh terjadi di setiap peringkat rantaian nilai hidupan liar, perhutanan dan perikanan.

“Ia termasuk suapan untuk mendapatkan maklumat pergerakan haiwan atau rondaan, atau untuk mendapatkan hak dan kuota, atau melancarkan penghantaran bagi memastikan mereka tidak diperiksa atau barangan tidak dirampas,” katanya.

Tuuga berkata demikian dalam bengkel mengenai Cabaran Penguatkuasaan dalam Membanteras Rasuah dalam Jenayah Hidupan Liar dianjurkan oleh JHL, SPRM dan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) pada 13 dan 14 Julai lepas.

Bengkel itu dihadiri oleh wakil agensi penguatkuasaan undang-undang Sabah dan Sarawak bertujuan mening-katkan kesedaran dalam undang-undang antirasuah termasuk perlindungan saksi dan pemberi maklumat, dan sebagai sebahagian daripada latihan untuk Kumpulan Kerja antara agensi mengenai Perisikan Jenayah Hidupan Liar.

Ia juga sebagai platform untuk agensi berbeza berkongsi kesukaran dalam memerangi rasuah terhadap jenayah hidupan liar, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh agensi berkenaan di sini hari ini.

Tuuga berkata ini adalah kali pertama bengkel antirasuah dengan penekanan terhadap jenayah hidupan liar diadakan di Sabah. – Bernama