Bersama pulihara, lindungi sumber alam sekitar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Perlindungan, pemuliharaan dan pengurusan sumber hutan bukan sahaja amat penting bagi sosioekonomi tetapi juga alam sekitar di mana memastikan kelestarian sumber berkenaan adalah amat mustahak untuk generasi masa kini dan akan datang.

Dalam hubungan itu, Pengurusan Hutan Lestari (SFM) memainkan peranan yang amat besar di mana ia mengimbangi sosioekonomi dan kaitan persekitaran hutan serta menjadi hala tuju dasar dan preskriptif bagi autoriti global dalam perhutanan termasuk di negara ini.

Kita percaya bahawa strategi efektif dan pelaksanaan SFM akan menyediakan manfaat bersama bagi semua pihak dalam melindungi alam sekitar.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dalam ucaptama semasa Persidangan Brunei Darussalam bagi Hutan yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Beliau berkata, untuk mengukuhkan lagi usaha dalam mencapai kelestarian dan pertumbuhan, konsep ekonomi hijau boleh diintegrasikan menurut SFM yang sedia ada di mana menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, ekonomi hijau merupakan salah satu pencapaian dalam meningkatkan kesejahteraan manusia dan ekuiti sosial serta pada masa yang sama, mengurangkan risiko alam sekitar dan kekurangan ekologi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyampaikan ucaptama semasa persidangan tersebut.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyempurnakan perasmian Persidangan Brunei Darussalam bagi Hutan, kelmarin.

Oleh itu, ulasnya lagi, konsep ekonomi hijau boleh berkonsepkan sebagai satu inisiatif yang merangkumi karbon rendah, efisien sumber dan keterangkuman sosial.

Di peringkat kebangsaan, dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Brunei Darussalam (BNCCC) telah melancarkan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BNCCP) pada 25 Julai 2020 di mana dasar itu bertujuan untuk memberikan hala tuju bagi laluan tahan iklim dan rendah karbon negara untuk sebuah negara lestari.

Yang Berhormat Dato me-nerangkan bahawa BNCCP menggariskan 10 strategi yang berpotensi untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau Negara Brunei Darussalam sehingga lebih 50 peratus menjelang 2035.

Antara strategi berkenaan ialah Strategi 2, yang menyeru secara langsung bagi tindakan daripada sektor perhutanan dan dihasratkan untuk meningkatkan sinki karbon Negara Brunei Darussalam menerusi penanaman hutan semula dengan sasaran untuk menanam sebanyak 500,000 pohon pokok baharu menjelang 2035.

Negara Brunei Darussalam, kata Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali, dikenali dengan liputan hutan yang masih asli, namun begitu, di sebalik statistik baik dalam liputan hutan darat, negara berhasrat untuk meningkatkan lagi penyerapan karbon dengan menanam pokok-pokok baharu dan menggunakan agenda itu dalam mempromosi penyertaan daripada pihak-pihak berkepentingan dan masyarakat.

Beliau seterusnya berkata bahawa persidangan itu mengetengahkan hubungan antara biodiversiti dan ekonomi di mana tidak dapat dinafikan bahawa sebilangan besar ekonomi bergantung pada biodiversiti.

Biodiversiti merangkumi beberapa spesies dan organisma yang berinteraksi di antara satu sama lain di mana interaksi itu menjadikan ekosistem stabil dengan mengimbangi populasi setiap spesies untuk mengekalkan biodiversiti.

Oleh itu, sebuah ekosistem yang kaya dengan biodiversiti mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi tanpa menyebabkan degradasi alam sekitar, jelas Yang Berhormat Dato. Di peringkat kebangsaan, ujar beliau, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelan-congan (KSSUP) merupakan penjaga bagi pemuliharaan ekosistem negara dan ia merupakan satu peranan yang amat diambil serius di mana menjadi tanggungjawab untuk menjadi berhemah dalam segala usaha ke arah menyelenggarakan dan memulihara biodiversiti hutan, perikanan dan pertanian.

Negara Brunei Darussalam amat beruntung kerana mempunyai 72 peratus keluasan tanah keseluruhan masih diliputi hutan dan kebanyakannya masih lagi belum diterokai dan dalam keadaan asli.

Dalam hubungan itu, sumber hutan dan biodiversitinya, berpotensi untuk menyediakan baris perkhidmatan dan produk hutan yang meluas di mana ia boleh menyumbang kepada pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi Brunei.

Namun begitu, Yang Berhormat Dato berkata, dalam keghairahan untuk membangunkan dan mempelbagaikan ekonomi daripada sektor minyak dan gas, khususnya dalam industri seperti pembinaan, pertanian dan industri perkhidmatan termasuk ekopelancongan, kita harus peka mengenai kemungkinan kesan negatif daripada aktiviti-aktiviti itu kepada alam semula jadi.
Di samping itu, beliau menyarankan perlunya untuk mengejar inisiatif penyelidikan saintifik secara berterusan dan objektif.