Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Bersama raih pahala bina masjid

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Orang ramai sekali lagi berpeluang meraih pahala dengan menyumbang ke Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) yang akan dijalankan selama sembilan bulan bermula hari ini hingga 13 Disember depan.

    Pelancaran perkhidmatan SMS tabung dana itu telah diadakan hari ini pada majlis yang berlangsung di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku tetamu kehormat. Mengiringi beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif Datastream Digital (DST) Sdn Bhd, Awang Radin Sufri bin Radin Basiuni; Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Mohd Jaafar; Dayang Farah Lisa binti Farid selaku wakil ketua pegaw ai eksekutif imagine Sdn Bhd; dan Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, KHEU, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.

    Tabung itu setakat Februari 2022 telah pun mengutip sejumlah $18,937,639.32 dengan dua projek pembinaan masjid baharu dan tiga projek pemuliharaan masjid telah siap dilaksanakan menggunakan peruntukan tabung dana berkenaan.

    Dalam pada itu juga, sebuah masjid baharu sedang dalam pembinaan bagi menggantikan masjid lama Kampung Junjongan, dengan anggaran perbelanjaan berjumlah $4.9 juta menggunakan peruntukan tabung dana tersebut.

    Pembinaan masjid baharu berkenaan merupakan inisiatif Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam memeduli kebajikan dan keselesaan tempat ibadah para jemaah masjid berkenaan.

    Kemajuan yang dicapai merupakan hasil sambutan, komitmen dan sumbangan seangkat-angkat hati orang ramai terhadap tabung dana berkenaan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT jua.

    Majlis pelancaran turut diserikan dengan tayangan klip video Perkhidmatan SMS Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam. Ini diikuti dengan acara penghantaran sumbangan melalui SMS beramai-ramai oleh para hadirin.

    Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan menerusi perkhidmatan SMS bolehlah menaip MASJID diikuti dengan jumlah yang ingin disumbangkan iaitu 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100 tanpa jarak dan dihantar ke talian 38111 bagi pengguna DST dan Progresif, atau ke talian 39999 bagi pengguna imagine.

    Penubuhan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam adalah dihasratkan menjadi wadah kekal bagi orang-orang Islam untuk menabung pahala kerana membina masjid, sekali gus sebagai satu peluang keemasan untuk bertanam saham di akhirat.

    Perkhidmatan SMS Tabung Dana berkenaan dapat memberi peluang kepada umat Islam di negara ini untuk menginfaqkan (membelanjakan) harta yang dimilikinya dengan niat sebagai ibadah, serta melipatgandakan amal kebajikan mereka semata-mata bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan Allah SWT kepada orang-orang yang membina masjid.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom diiringi Awang Radin Sufri, Hajah Nurul Haniah, Dayang Farah Lisa semasa melancarkan Perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam, kelmarin.
    Timbalan Menteri Hal Ugama semasa melancarkan SMS Tabung Dana Masjid.

     

     

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...