Saturday, January 25, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama realisasikan inisiatif tenaga yang boleh diperbaharui

    Oleh Sim YH

    Kementerian Tenaga telah menyasarkan peningkatan penjanaan tenaga boleh diperbaharui kepada sekurang-kurangnya 300 Megawatt (MW) menjelang 2035 dan kapasiti sebanyak 200MW bagi sasaran jangka pendek.

    Ke arah itu, Kementerian Tenaga telah menyediakan rancangan bagi pelaksanaan penggunaan tenaga boleh diperbaharui melalui Solar Photovoltaic (solar PV).

    Antara perancangan masa depan termasuklah pembinaan projek suria berskala kecil, sederhana dan besar serta projek kolaborasi dengan pihak-pihak berkepentingan bagi projek-projek solar di kawasan pedalaman.

    Perancangan itu dikongsikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas, Unit Tenaga yang Boleh Diperbaharui, Bahagian Tenaga Lestari, Kementerian Tenaga, Dayang Nurul Hadinah binti Yahaya dalam temu bual bersanna Media Permata, baru-baru ini.

    Menurutnya, pada masa ini, kementerian telah merancang membangunkan projek solar 30 MW di Kampung Belimbing, Kota Batu melalui konsep PPP. Manakala bagi projek solar berskala kecil dan sederhana, program Net-metering telah dilaksanakan.

    Beliau menambah pelaksanaan fasa kedua program Net Metering dibukakan penyertaannya kepada kerajaan, komersial, perindustrian dan perumahan yang mana pemilik teknologi solar boleh menyalurkan lebihan tenaga yang dihasilkan dengan sistem PV solar ke dalam grid kebangsaan.

    Penghasilan lebihan tenaga itu akan dicatatkan dalam meter yang dipasang yang mana akan dapat digunakan kemudiannya.

    Mempertahankan dan menyokong aspirasi pengurangan pelepasan gas rumah hijau

    Bagi mempertahankan dan menyokong aspirasi kerajaan ke arah pengurangan pelepasan gas rumah hijau, beliau menekankan beberapa inisiatif yang digariskan dalam pelan strategik dan pengendaliannya oleh kementerian dijangka mencapai aspirasi kerajaan dan menangani pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

    Dengan memiliki dan memasang sistem solar serta memanfaatkannya bagi kegunaan mereka sendiri, ia akan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan tenaga konvensional menerusi grid tenaga kebangsaan yang mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan membantu usaha mitigasi perubahan iklim negara.

    Energy Efficiency (Standard and Labeling) Order, 2021

    Skim Standard and Labeling (SLO) yang diperkenalkan dan berkuat kuasa pada Jun 2022 dihasratkan dapat mendidik orang ramai membuat pilihan yang baik dalam pembelian perkakas elektrik rumah cekap tenaga, jelas Awang Mohd Rifdi bin Haji Sahari dari Unit Kecekapan dan Penjimatan Tenaga, Bahagian Tenaga Lestari, Kementerian Tenaga.

    Menurutnya, bagi fasa pertama ini, tumpuan adalah bagi alat penyaman udara. Melalui skim itu, orang ramai boleh melihat label dari Kementerian Tenaga yang mempamerkan rating bintang pada alat penyaman udara yang dijual di kedai-kedai, membolehkan mereka menilai kecekapan tenaga dan membuat pilihan bijak, cekap dan penjimatan tenaga serta perbelanjaan mereka.

    Semai kesedaran amalan mapan dan tenaga boleh diperbaharui

    Pentingnya penjimatan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui dalam masyarakat khususnya meningkatkan kesedaran dan pendidikan memerlu-kan kerjasama dan peranan semua pihak, jelas Awang Mohd Rifdi.

    Dalam hal ini, sektor swasta mampu mengambil peranan positif ke arah merubah sikap masyarakat, melalui pengurangan perbelanjaan tenaga dan jika ramai mengamalkannya, setentunya ia akan mengurangkan penggunaan bahan api. Ini secara langsung dapat membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam penjanaan kuasa tenaga berkenaan.

    Usaha itu disaksikan menerusi inisiatif BIBD bagi meningkatkan kesedaran terutamanya golongan muda termasuklah melalui tenaga yang boleh diperbaharui. Inisiatif kerjasama awam dan swasta itu mampu membawa perubahan positif bagi menjana masa depan yang mapan.

    Pendekatan BIBD telah menumpu kepada usaha penjimatan tenaga menerusi amalan baik harian, jelas Awang Mohd Rifdi, di mana orang ramai dapat mengamalkan inisiatif tiada kos seperti menutup suis peralatan elektrik apabila tidak digunakan.

    Sementara itu, Dayang Nurul Hadinah berkata BIBD berperanan sebagai pemboleh utama kepada mempercepatkan usaha ke arah penjimatan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui.

    Tidak dapat dinafikan peralatan dan pemasangan sistem solar boleh menelan kos yang tinggi, oleh itu BIBD sedang mencari beberapa alternatif di mana salah satu usaha tersebut adalah penyediaan produk khusus bagi menawarkan perkhidmatan pembiayaan hijau di masa akan datang.

    RINGKASAN:

    • Kementerian Tenaga menyasarkan meningkatkan penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui kepada sekurang-kurangnya 300 MW menjelang 2035.

    • Ke arah itu, rancangan bagi pelaksanaannya tertumpu kepada tenaga Solar.

    • Perancangan masa depan dalam projek solar berskala kecil, sederhana dan besar, kolaborasi dengan pihak berkepentingan dan meneruskan projek solar di kawasan pedalaman.

    Mempertahankan dan Menyokong Aspirasi Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau

    • Dalam menyokong aspirasi itu, beberapa inisiatif seperti digariskan dalam pelan strategik dan dikendalikan kementerian akan dilaksanakan.

    • Ini termasuklah pemasangan dan penggunaan sistem solar bagi kegunaan tenaga sendiri akan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan tenaga konvensional sekali gus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau ke alam sekitar dan membantu mitigasi perubahan iklim.

    Energy Efficiency (Standard and Labeling) Order, 2021

    • Skim SLO berkuat kuasa pada Jun 2022 dihasratkan mendidik orang ramai membuat pilihan yang baik dalam pembelian perkakas elektrik rumah yang cekap tenaga.

    • Bagi fasa pertama, menumpu kepada alat penyaman udara yang diberikan rating bintang yang mampu menjimatkan tenaga dan perbelanjaan.

    • Pendidikan dan kesedaran mengenai amalan mapan dan tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan masyarakat melalui dan memerlukan kerjasama awam-swasta.

    • Inisiatif BIBD sebagai kerjasama swasta dan awam mampu membawa perubahan positif.

    • BIBD pemboleh utama dalam mempercepatkan usaha ke arah penjimatan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui serta pembiayaan hijau.

    Awang Mohd Rifdi bin Haji Sahari
    Dayang Nurul Hadinah binti Yahaya

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda