Bersama realisasikan Wawasan 2035

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Wawasan Brunei 2035 hanya tinggal kurang daripada 15 tahun untuk kita sama-sama berusaha mencapainya dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menegaskan dalam titah Baginda bahawa wawasan 2035 perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh dan tidak wajar dibiarkan sebagai satu retorik intelektual semata-mata yang cuma indah dalam sebutan.

Perkara itu disentuh oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Buku Bacaan dan Video Promosi Wawasan Brunei 2035 yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, hari ini.

Beliau menyatakan lagi bahawa dengan kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035, rancangan Komunikasi Wawasan Brunei 2035 digunakan sebagai panduan untuk mengurus serta mentadbir tindakan komunikasi khusus bagi mening-katkan kesedaran awam dalam menyokong usaha-usaha pelaksanaan wawasan 2035.

Ini termasuk, jelas Yang Berhormat Dato, penyediaan bahan promosi, mengadakan sesi pemberigaan dan taklimat awam bagi pihak yang berkepentingan, menghasilkan iklan radio dan menyediakan laman sesawang bagi wawasan 2035 iaitu www.wawasanbrunei.gov.bn.

“Semua usaha ini adalah bagi memupuk kefahaman dan penghayatan mendalam di setiap lapisan masyarakat negara serta memastikan semua pihak akan berganding bahu untuk sama-sama menjayakan Wawasan Brunei 2035,” tekannya.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa sebagai langkah proaktif dalam memberigakan Wawasan Brunei 2035 pada 2020, dua lagi bahan promosi telah dihasilkan iaitu penerbitan dua buah buku bacaan bagi peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah serta penghasilan empat buah video promosi bagi Wawasan Brunei 2035.

Beliau seterusnya berharap dengan usaha-usaha yang dijalankan itu, akan dapat sedikit sebanyak membantu dalam merakyatkan Wawasan Brunei 2035 dan meningkatkan kesedaran awam dalam sama-sama berusaha untuk menyokong pelaksanaannya.

(Dari Kanan): Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Menteri di JPM; Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua; dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan selepas majlis pelancaran buku Wawasan Brunei 2035.