Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Bersama sahut cabaran ekopelancongan Negara

    Oleh Nurdiyanah R

    Negara Brunei Darussalam memiliki alam semula jadi yang terjaga dan persekitaran yang bersih sehingga berpotensi menarik pelancongan bukan sahaja di mata dunia bahkan juga masyarakat tempatan.

    Keindahan tempat-tempat menarik itu pastinya menyimpan pelbagai khazanah yang berharga yang perlu dipelihara daripada satu generasi ke generasi penerus bangsa.

    Sehubungan itu, dalam usaha berterusan ke arah mengembangkan dan memajukan ekopelancongan di negara ini, pelbagai pihak tidak kira peringkat kerajaan, swasta dan masyarakat secara umum perlu memainkan peranan masing-masing.

    Budaya teman rapat sepanjang hayat

    Semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis baru-baru ini, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, antaranya mengatakan bahawa apabila kita berbicara mengenai pelancongan, sesungguhnya kita tidak dapat lari daripada berbicara mengenai budaya dan cara hidup orang Brunei.

    Hal tersebut ditekankan bagi menyambut baik cadangan yang diketengahkan oleh ahli MMN, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir mewakili warga penduduk Daerah Temburong, yang menekankan alangkah baiknya jika anak-anak muda didedahkan dengan aktiviti-aktiviti tertentu seperti bird watching, ubat-ubatan herba tradisional, memperindah tempat riadah, memartabatkan kulinari tradisional, tarian asli dan sebagainya.

    Alat muzik tradisional gulintangan.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham turut mengongsikan pihak UBD telah banyak membuat kajian mengenai tumbuhan-tumbuhan yang ada di negara ini semasa berlangsungnya sesi permesyuaratan MMN baru-baru ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa permesyuaratan MMN, baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Anak-anak muda perlu didedahkan dengan aktiviti-aktiviti seperti bird-watching dan pengetahuan ubat-ubatan tradisi bagi memperkasa nature tourism.

    “Budaya merupakan teman rapat sepanjang hayat bagi pelancongan atau apa yang dikenali oleh pihak barat best friend forever. Mengenai cadangan Yang Berhormat Haji Sulaiman, ia adalah selaras dengan program yang sedang diaturkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), iaitu melalui perjalanan budaya yang diungkayahkan untuk mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan anak-anak sekolah mengenai tradisi dan budaya kita,” ujar Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi

    Jelas beliau, ini termasuklah dari segi seni tarian, seni budaya dan juga seni permainan tradisi kita seperti gasing, gambus dan sebagainya.

    Pada setiap minggu Bandarku Ceria, Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka juga mempelawa anak-anak untuk mempamerkan cara bermain alat tradisional Brunei seperti gambus, guling tangan dan sebagainya.

    “Kaola ingin kongsikan, di samping kemahiran bermain alat-alat muzik ini, kita juga sedang mengatur strategi untuk menghidupkan semula seni warisan kraf tangan menghasilkan alat-alat muzik seperti gambus.

    “Kita di negara ini tidak lagi ramai orang yang menghasilkan gambus. Begitu juga dengan gasing. Tidak ramai yang tahu ataupun mempunyai kemahiran untuk menghasilkan gasing.

    “Walhal pada satu ketika dahulu ramai yang mempunyai kemahiran untuk menghasilkan gasing,” tekan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

    Sehubungan itu, beliau turut menambah dengan mengongsikan juga strategi hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan negara-negara lain di mana kita juga mempunyai komponen pertukaran budaya.

    “Dan apabila pertukaran budaya merupakan salah satu komponen untuk merapatkan hubungan antara orang Brunei dan orang di negara-negara jiran, sudah setentunya ini merupakan peluang keemasan untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Negara Brunei Darussalam dan memperkenalkan cara hidup, tradisi, makanan kita dan mempromosi Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan,” luah Yang Berhormat Dato penuh harapan.

    Terlaksananya kajian ubatan herba tempatan

    Sementara itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa permesyuaratan MMN turut menyambut baik cadangan ahli MMN, Yang Berhormat Haji Sulaiman khususnya berkaitan dengan keperluan penglibatan dan pendedahan golongan belia setempat kepada pengetahuan ubat-ubatan tradisi bagi memperkasa nature tourism. Misalnya, melatih belia-belia membuat kajian terhadap tumbuhan untuk dijadikan herba yang terdapat di Daerah Temburong dan juga menerangkan jenis-jenis tumbuhan yang boleh digunakan sebagai penawar segala penyakit.

    Dalam hal itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham turut mengongsikan mengenai ubat-ubatan di mana pihak Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah banyak membuat kajian mengenai tumbuhan-tumbuhan yang ada di Negara Brunei Darussalam ini.

    Tambahnya, jika dilawat di taman botani mereka didapati berpuluh-puluh atau beratus-ratus tumbuhan di negara ini telah dibuat kajian di mana pihak UBD mempunyai bahan ataupun active substance yang boleh dijadikan sebagai ubat-ubatan.

    “Oleh itu, mana-mana belia yang ingin mempelajari ubat-ubat tradisi atau herbal medicine bolehlah mengunjungi pihak UBD terutamanya botaninya dan dari sana kita akan mengetahui segala tumbuh-tumbuhan berpotensi untuk dimajukan dan mengembangkan pengeluaran kita,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...