Bersama-sama cegah kemungkaran

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Perkara yang sangat membimbangkan dan mendukacitakan bagi umat Islam ialah apabila kemungkaran berlaku secara terang-terangan dalam sesebuah masyarakat dan tidak ada orang yang berusaha untuk mencegahnya, maka kemungkaran akan semakin menjadi-jadi dan terus berlaku atau berleluasa.

Perkara tersebut ditekankan oleh khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang menjelaskan apabila kemungkaran itu sudah biasa didengar dan dilihat, maka perkara tersebut akan mula dianggap remeh, ringan atau biasa-biasa saja dan masyarakat tidak akan melihat kemungkaran itu sebagai satu dosa atau maksiat.

Oleh itu, khatib menegaskan dalam khutbahnya bahawa setiap Muslim wajib bertanggungjawab dan peka untuk bertindak melakukan perubahan dalam mencegah kemungkaran yang akan mengundang kepada dosa, dan setiap dosa itu akan mengundang kepada kemurkaan Allah SWT.

“Jika kemungkaran terus berleluasa sedangkan ada yang berkuasa atau mampu untuk mencegahnya, dalam keadaan tersebut, maka adalah tidak mustahil Allah SWT akan menurunkan azab berbentuk bala bencana yang bukan hanya menimpa orang yang berbuat maksiat tetapi juga kepada seluruh masyarakat yang tinggal di tempat itu walaupun mereka tidak melakukan perbuatan maksiat.”

Melalui khutbah tersebut, khatib mengongsikan tiga panduan daripada Rasulullah SAW bagi mencegah kemungkaran, antaranya pertama mengubah dengan tangan iaitu mengubah dengan kuasa yang ada pada se-seorang mengikut kemampuan dan bidang kuasa masing-masing; kedua, mengubah dengan lidah iaitu mengubah dengan percakapan atau lisan dengan memberi nasihat dan bimbingan yang baik sekiranya tidak mampu mengubah dengan kuasanya dan ketiga, mengubah dengan hati iaitu dengan cara membenci kemungkaran tersebut di dalam hati dan inilah merupakan selemah-lemah iman.

Bagi membanteras dan mencegah berlakunya jenayah dan perbuatan mungkar di negara ini, antara agensi kerajaan yang diamanahkan ialah Pasukan Polis Diraja Brunei yang bertanggungjawab bagi memastikan keama-nan, keselamatan dan kesejahte-raan rakyat dan penduduk negara ini sentiasa terjamin dan terpelihara.

“Akan tetapi, ini tidak bermakna kita menyerahkan tugas berkenaan sepenuhnya kepada pihak polis semata-mata. Oleh itu, kerjasama dan kesepakatan padu antara polis dan agensi-agensi penguatkuasaan keselamatan, pihak-pihak yang berkepentingan, kerjasama dan bantuan daripada masyarakat adalah sangat-sangat diharapkan,” jelas khatib di atas mimbar lagi.

Kerjasama daripada masyarakat sebagai pemantau sukarela yang berperanan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa, bukan saja mewujudkan perpaduan erat, suasana aman dan harmoni malahan kerjasama dan perkongsian maklumat itu dapat membantu dalam mengesan dan menurunkan kadar jenayah serta mempercepatkan penyelesaian kes jenayah.

Oleh itu, khatib berharap kadar jenayah dapat diatasi di negara ini dengan pelbagai usaha. Selain berusaha mencegahnya, kita juga hendaklah menanamkan rasa tanggungjawab, keinsafan dan kesedaran untuk sama-sama menjamin keselamatan dan ketenteraman anggota masyarakat demi keamanan dan keharmonian hidup dengan mengamalkan ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’.