Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 9 JAN – Dalam sama-sama mengimarahkan kediaman masing-masing dengan bacaan-bacaan ayat suci Al-Quran dan doa-doa, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkarai, Tutong melalui biro keagamaannya telah mengadakan Majlis Malam Munajat MPK Daerah Tutong secara maya, baru-baru ini.
Majlis kerohanian dengan kerjasama dan sokongan penduduk dari Kampung Sengkarai, Kampung Serambangun dan Kampung Petani itu turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Umarali bin Esong, Yang Berhormat Dayang Khairunisa binti Haji As’hari dan Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu.
Turut menyertai program berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohd Amirul Hadi bin Haji Mohd Tajudin.
Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan doa-doa telah dipimpin oleh Ketua Biro Keagamaan MPK Sengkarai, Haji Hammafi bin Haji Mohd Yassin; imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Awang Sahibul Omar bin Haji Mohd Yusof dan Awang Muhammad Darwish Afiq bin Jalani selaku salah seorang belia Kampung Sengkarai.
Semasa dihubungi, Pemangku Ketua Kampung Sengkarai Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang juga selaku pengerusi majlis menyatakan bahawa dengan adanya kegiatan keagamaan berkenaan diharap menjadi amalan berterusan pada masa akan datang oleh masyarakat Islam di mana pun berada.
“Terlaksananya majlis penuh keindahan ini pastinya sebagai salah satu ikhtiar kita untuk sama-sama memohon keampunan Allah SWT agar bumi Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam perlindungan dan terhindar daripada segala musibah khususnya daripada penularan wabak COVID-19,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa kegiatan seumpamanya juga sebagai menyahut seruan raja yang dikasihi untuk merealisasikan tanah air sebagai sebuah Negara Zikir dan sentiasa berpegang teguh kepada segala ajaran agama Islam.